Khalid Ibrahim muncul pada Konvensyen Umno Selangor


Asila Jalil Radzi Razak

Bekas menteri besar Selangor Khalid Ibrahim (tengah) dikelilingi pemimpin Umno ketika hadir pada acara yang dikatakan taklimat tertutup mengenai strategi untuk merampas semula Selangor daripada Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 Disember, 2017.

BEKAS menteri besar Selangor Khalid Ibrahim hari ini muncul semasa pembukaan Konvensyen Umno Selangor.

Bagaimanapun, pembantu Khalid memaklumkan kepada The Malaysian Insight yang bekas ahli politik PKR itu tidak menyertai Umno.

“Beliau hanya dijemput untuk beri pandangan tentang acara itu. Beliau berada di sini bukan untuk menyertai Umno,” kata pembantu Khalid, Mustapha Mohd Talib kepada The Malaysian Insight di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Acara itu dikatakan taklimat tertutup mengenai strategi untuk merampas semula Selangor daripada Pakatan Harapan dan Khalid serta seorang lagi bekas menteri besar Selangor, Muhammad Muhd Taib dipercayai orang penting yang terlibat dalam usaha ini.

Pemimpin-pemimpin lain yang berada di atas pentas adalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Noh Omar dan Ketua Umno Sungai Besar Jamal Mohamed Yunos.

Khalid dilihat berjalan bersama Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ke pintu masuk dewan.

Khalid berkata, beliau masih lagi bebas kerana ia merupakan pilihan terbaik baginya.

“Saya masih bergerak secara bebas. Saya rasa itu adalah yang terbaik kerana dengan bebas, rakyat Selangor tidak perlu bimbang dengan niat saya. 

“Sekiranya saya bebas, saya tidak dalam mana-mana parti tetapi parti saya ialah rakyat Selangor,” kataya pada sidang media selepas konvensyen Umno Selangor dan menambah beliau hanya fokus kepada kepentingan rakyat di Selangor. 

Khalid juga berkata, beliau tidak akan mempertahankan kerusi yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang. 

“Tidak. Saya bukan dengan Umno (hari ini) untuk menang pilihan raya. 

“Saya di sini kerana saya rasa bersyukur untuk berada dalam politik dan menjadi menteri besar (Selangor).

“Dan saya akan bekerja bukan sahaja untuk Umno. Saya sudah maklumkan kepada rakan saya dalam PAS, yang membantu saya, saya juga akan mebantu mereka demi untuk menyatukan rakyat,” tambah Khalid. 

Pada 15 Oktober lalu, Khalid berkata, beliau akan berkempen dengan PAS dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang, tetapi tidak akan pertahankan kerusinya. 

“Saya akan bersama PAS dan Umno-BN untuk berjuang demi rakyat Selangor,” kata Khalid, yang hadir pada majlis jamuan kutipan dana pilihan raya PAS negeri di Shah Alam.

“Beliau turut menafikan dakwaan beliau akan menyertai Umno.

Khalid yang merupakan ahli Parlimen bebas Bandar Tun Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, menyertai Umno pada 1990-an sebelum menyertai PKR sekitar tahun 2000. 

Beliau dilantik menjadi Menteri Besar Selangor yang ke 14 dan yang pertama dilantik oleh pakatan pembangkang Pakatan Rakyat selepas ia memenangi negeri itu pada PRU12.

Khalid dipecat daripada PKR pada Ogos 2014 selepas mentadbir negeri selama enam tahun apabila beliau enggan melepaskan jawatan untuk memberi laluan kepada presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail. – 2 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen