Pusat tuisyen mungkin terpaksa gulung tikar akibat Covid-19


Angie Tan

Saranan pusat tuisyen mengadakan kelas dalam talian tidak begitu mendapat sambutan ibu bapa berasa ia tidak begitu berkesan terutama murid sekolah rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Jun, 2020.

BEBERAPA pusat tuisyen sedang mempertimbangkan kemungkinan menutup operasi walaupun menawarkan pembelajaran dalam talian kepada pelajar.

Kelas maya belum diterima dengan baik dan walaupun kelas fizikal dibenarkan untuk disambung semula, beberapa operator memberitahu The Malaysian Insight mereka ragu ibu bapa akan membenarkan anak-anak menghadiri kelas tuisyen kerana bimbang penularan Covid-19.

Pusat tuisyen belum mendapat persetujuan kerajaan untuk kembali beroperasi walaupun terdapat kelonggaran sekatan pergerakan lain.

Tetapi apabila kebenaran sepenuhnya diberikan, pengendali pusat tuisyen Ken Yap berasa hampir 70% ibu bapa tidak akan menghantar anak mereka kembali.

Yap yang mengendalikan dua pusat tuisyen di Kota Kemuning, Selangor sejak lima tahun lalu, berkata beliau merancang untuk menutup satu pusat selepas mendapat maklum balas daripada ibu bapa.

“Saya sudah bercakap dengan ibu bapa dan 70% bersetuju saya patut menutup satu pusat kerana mereka tidak merancang untuk menghantar anak ke kelas tuisyen. Ibu bapa yang lain berkata mereka akan tunggu dan lihat.”

Yap berkata ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) selama tiga bulan, sewa, utiliti dan gaji guru masih perlu dibayar.

“Daripada menyokong perniagaan yang tidak pasti, lebih baik memilih menutup salah satu pusat. Mungkin kemudian, ketika keadaan kembali normal, kami akan mempertimbangkan untuk membukanya kembali.”

Pusat Yap menyediakan kelas dalam talian dan pelaburan dibuat untuk membeli bahan mengajar yang sesuai dan melatih para guru untuk memastikan pengajaran dalam dan luar talian tetap sama.

Tetapi ternyata sekurang-kurangnya 10% pelajar tidak bersedia untuk menyertainya.

“Sukar bagi pelajar menumpukan perhatian ketika pembelajaran dalam talian dan ibu bapa berasa keberkesanan (pengajaran dalam talian) tidak begitu baik.”

Hal ini terutamanya berlaku bagi pelajar yang lebih muda, tetapi Yap berkata yang lebih berusia seperti pelajar sekolah menengah, dapat menerima pembelajaran dalam talian.

Yap berkata apabila kelas tuisyen disambung semula, jumlah pelajar mungkin tidak sama seperti sebelumnya.

Seorang guru pusat tuisyen di Rawang yang memberikan namanya sebagai Lim, berkata kebanyakan ibu bapa di pusatnya masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Anggaran awal saya, kurang daripada 10% ibu bapa bersedia menghantar anak mereka kembali ke tuisyen,” kata pemilik pusat yang dikendalikannya sejak empat tahun lalu.

“Saya sudah melaburkan banyak wang, masa dan usaha, dan saya benar-benar tidak mahu menutup perniagaan.”

Beliau pernah menawarkan kelas dalam talian semasa PKP, tetapi penerimaan ibu bapa tidak begitu baik.

“Sekolah juga mempunyai kelas dalam talian sehingga mereka tidak menyokong idea lebih banyak kelas dalam talian bagi tuisyen juga.”

Lim berkata pendapatannya berkurangan secara drastik semasa PKP dan bergantung kepada beberapa sokongan kerajaan melalui pakej rangsangan, dan bayaran daripada beberapa pelajar yang menerima kelas tuisyen dalam taliannya.

Masih tidak jelas bila pusat tuisyen dan kelas dapat disambung semula, walaupun pelajar Tingkatan 5 dan 6 dibenarkan kembali ke sekolah esok di bawah prosedur kesihatan yang ketat yang merangkumi penjarakan sosial di dalam bilik darjah. – 24 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen