PRU15: Perikatan lawan BN?


SEMASA Pakatan Harapan (PH) Plus makin goyah, Perikatan Nasional (PN) menjadi bualan dan tumpuan rakyat. Dalam tempoh tidak sampai 100 hari pemerintahan, perdana menteri PN, Muhyiddin Yassin seperti meraih sokongan popular rakyat. 

Ini bukan perkara ganjil kerana Covid-19 mengalihkan tumpuan rakyat sepenuhnya kepada peranan parti pemerintah dalam menguruskan negara. 

Tetapi, langit tidak selalunya cerah buat PN. Pertelingkahan antara pemimpin PN sudah sampai pada tahap mahu mengadakan pilihan raya mengejut bagi menyelesaikan ketidakstabilan politik kerajaan PN.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob secara terbuka mengakui kerajaan PN tidak stabil dan pilihan raya merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini. Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid juga setuju untuk adakan pilihan raya mengejut. 

Kenyataan ini menunjukkan Umno dan Barisan Nasional (BN) yakin menang pilihan raya akan datang dan kembali semula ke Putrajaya. 

Langkah mereka kini lebih lancar selepas beberapa pendakwaan pemimpin BN digugurkan oleh peguam negara.

Mereka teruja untuk kembali ke Putrajaya dan individu yang paling gembira sekali ialah Najib Razak kerana dapat menjadi perdana menteri semula.

Kemahuan Umno untuk adakan pilihan raya mengejut bakal menjadi realiti sekiranya PN gagal mempertahankan majoriti Parlimen.

Peluang ini sungguh bermakna buat Umno dan BN untuk kembali ke Putrajaya selepas tidak tahan menjadi pembangkang selama 22 bulan.

Kita perlu memahami PN merupakan sebuah gabungan politik antara ahli Parlimen pelbagai parti dalam Dewan Rakyat untuk menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Ia terdiri daripada ahli parlimen Umno, PAS, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan ahli Parlimen bebas. 

Berdasarkan kenyataan media Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 12 Mac 2020, Umno hanya menyokong kepimpinan Muhyiddin sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Najib juga menjelaskan PN bukanlah kerajaan Muafakat Nasional (MN) atau BN.

Status dan latar belakang PN sebenarnya ialah “gangguan” utama yang menyebabkan gabungan politik ini tidak akan bertahan lama.

Persoalannya, apakah nasib yang bakal dihadapi oleh PN? Adakah ia akan kekal menjelang PRU15?

PAS+Bersatu+Azmin= PN?

Perjanjian PN yang longgar membolehkan Bersatu membuat rundingan untuk menyertai Muafakat Nasional.

Namun, langkah ini akan memberi reaksi penentangan daripada pemimpin akar umbi, khususnya Umno yang melihat Bersatu sebagai pengkhianat Umno. 

Tetapi, Muafakat Nasional tidak boleh memperlihatkan mereka tidak setuju dengan kemasukan Bersatu kerana populariti Muhyiddin yang kian meningkat merupakan tawaran baik untuk Muafakat Nasional  terus kukuh.

Situasi ini tidak semestinya akan memenangkan Umno kerana kebarangkalian Muafakat Nasional terbubar juga amat tinggi sekiranya Umno dan PAS gagal dalam rundingan pengagihan kerusi. 

Pada 2 Disember 2019, Presiden MCA Wee Ka Siong menyatakan Muafakat Nasional hanyalah satu bentuk kerjasama dan perpaduan dalam kalangan parti pembangkang semata-mata, bukan BN. 

Ia jelas menunjukkan nasib Muafakat Nasional boleh terkubur seperti PN jika kedua-dua pihak gagal mencapai persefahaman. Maka, apa yang akan terjadi sekiranya Muafakat Nasional terbubar?

PAS mempunyai pilihan bekerjasama dengan Bersatu dan kumpulan Mohamed Azmin Ali sebagai alternatif untuk membentuk gabungan parti politik berteraskan Melayu dan Islam yang bersih daripada kleptokrasi Umno menjelang PRU15.

Pada 1 Jun 2020,  PAS dan Bersatu melakukan pertemuan untuk membincangkan tentang pilihan raya mengejut dan pengagihan kerusi.

Bersatu difahamkan mahu bertanding 50 kerusi Parlimen daripada Dewan Rakyat. PAS pula akan bersetuju jika Bersatu bertanding di kerusi yang mereka ada sekarang.  

Ternyata, ada seperti satu kesepakatan untuk membentuk gabungan parti Melayu dan Islam tanpa Umno.

Gabungan PAS-Bersatu-Azmin inilah yang saya jangkakan membentuk PN yang sebenar dan mampu memberi saingan kepada BN dan PH plus.

Umno tidak mempunyai masalah untuk bertanding atas nama BN dalam PRU15. GPS mempunyai peluang untuk kembali ke pangkuan BN supaya mereka boleh menggunakan logo “dacing” pada PRU15.

Nampaknya, PRU15 akan memperlihatkan PN (parti Abah) melawan BN (parti #Bossku) dan membentuk pertarungan tiga penjuru dengan PH Plus. 

Perpecahan undi Melayu?

PN pimpinan Muhyiddin mahu membina naratif politik untuk membentuk sebuah gabungan parti politik yang bersih tetapi masih berpegang kepada kepentingan Melayu dan Islam.

Ia merupakan satu alternatif selain Umno/BN yang masih terpalit dengan kes rasuah dan ketirisan yang masih menjadi isu besar kepada rakyat Malaysia.

Hakikatnya, pertandingan tiga penjuru ialah ‘kebiasaan baharu’ dalam pilihan raya negara dan sekali lagi akan memecahkan undi pengundi Melayu.

Najib sendiri mengakui tiga penjuru menjadi punca utama BN kalah PRU14, khususnya di kawasan majoriti Melayu. Maka apakah kaedah PN dan BN untuk meredakan risiko ini? 

PH Plus mempunyai kelebihan jika trend ini berlaku. Tetapi, peluang mereka ke Putrajaya masih samar selepas terus bergelut dengan isu calon perdana menteri. 

Apa yang penting, PH Plus perlu sedar rakyat Malaysia layak menerima yang lebih baik daripada mereka.

Sudah tiba masanya PH mencari alternatif baharu dalam soal kepimpinan. Mungkin menamakan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri PH pada PRU15.

Langkah ini akan memberi naratif baharu kepada PH di luar kerangka Anwar-Mahathir. – 23 Jun, 2020.

* Fakhrurrazi Rashid, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen