Tiada PM mahu dengar cakap penasihat, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad berkata seorang perdana menteri ingin meninggalkan legasinya sendiri dan bukan dikenang kerana nasihat yang diterimanya daripada seorang penasihat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2020.

DR Mahathir Mohamad berkata beliau tidak bersetuju tawaran Anwar Ibrahim sebagai penasihat dalam kerajaan kerana pengalaman lalunya dengan perdana menteri lain.

Bekas ketua Pakatan Harapan (PH) berkata perdana menteri baharu tidak menerima ketika beliau cuba memberi nasihat.

“Pengalaman saya ketika cuba memberi nasihat kepada perdana menteri, mereka menolak dan tidak mendengar nasihat saya.

“Sama seperti bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak dan sekarang Muhyiddin Yassin,” kata ahli politik berusia 94 tahun itu kepada Sin Chew Daily dalam wawancara eksklusif hari ini.

“Tidak, saya tidak akan menerimanya kerana tidak ada yang akan mendengarnya,” kata Dr Mahathir.

Beliau menjawab pertanyaan alasannya menolak tawaran jawatan penasihat dibuat Anwar, sama seperti jawatan menteri kanan atau “menteri mentor”.

Anwar berkata demikian kepada Channel News Asia sekiranya PH memenangi pilihan raya akan datang. 

Presiden PKR dan ketua pembangkang itu berkata beliau akan mempertimbangkannya berbanding untuk menerima Dr Mahathir sebagai perdana menteri lagi.

Dr Mahathir memberitahu Sin Chew yang seorang perdana menteri ingin meninggalkan legasinya sendiri dan bukan dikenang kerana nasihat yang diterimanya daripada seorang penasihat.

“Perdana menteri ingin menunjukkan beliau bertanggungjawab atas segalanya dan semua idea datang daripadanya. Beliau ingin memiliki legasinya sendiri dan tidak mahu orang berkata beliau memperolehinya daripada Dr Mahathir,” kata ahli Parlimen Langkawi itu.

Anwar ketika ini bergelut dengan parti PH lain, DAP dan Amanah, yang mahu Dr Mahathir memimpin pembangkang untuk berdepan pilihan raya akan datang.

Selain DAP dan Amanah, Parti Warisan Sabah dan anggota Parlimen Bersatu dipecat yang berpihak kepada Dr Mahathir juga mahu bekas perdana menteri dua kali itu memimpin mereka lagi. – 23 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen