Perunding hartanah mahu SPRM, bekas exco disiasat kes kebocoran dokumen


Amin Iskandar

PERUNDING hartanah Amir Shariffuddin Abd Raub mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bekas exco Johor Abd Latif Bandi dan peguam belanya disiasat berhubung kebocoran dokumen yang mendakwa wang diberikan kepada Menteri Besar Mohamed Khaled Nordin.

Peguam kepada Amir, Azrul Zulkifli Stork dari Tetuan Azhardin & Associates berkata, ini kerana semua pihak yang dinyatakan termasuk pendakwa raya mempunyai akses kepada rakaman percakapan anak guamnya yang sebenar.

“Anak guam kami berpendapat suatu siasatan rapi harus dijalankan bukan sahaja kepada anak guam kami dan kami, malah harus meliputi pihak SPRM sendiri, peguam bela-peguam bela Abd Latif Bandi dan Abd Latif Bandi,” kata Azrul dalam satu kenyataan hari ini.

“Anak guam kami memohon semua pihak bekerjasama dengan pihak polis agar dalang sebenar dapat dibawa ke muka pengadilan”.

Amir yang merupakan salah seorang suspek skandal hartanah Johor, membuat satu laporan polis berkenaan kebocoran dokumen siasatan kes tersebut sebelum ini.

Amir, 44, membuat laporan tersebut di Balai Polis Sentral Johor Bahru petang kerana dokumen siasatan SPRM terhadapnya yang ditularkan berbeza dengan keterangan yang diberikannya kepada badan pencegah rasuah negara itu. 

Dokumen 140 muka surat itu dimuat naik dalam sebuah blog, turut mengeluarkan jadual transaksi mendakwa wang diberikan kepada menteri besar Johor.

Azrul berkata, Amir sudah merizabkan hak beliau untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba memprejudiskan kesnya.

“Serta mereka yang cuba menjatuhkan reputasi anak guam kami, menakutkan anak guam kami dan keluarga anak guam kami,” katanya.

SPRM pada Selasa berkata akan membuat satu laporan polis bagi menyiasat kebocoran maklumat dalam kes yang sedang dalam proses mahkamah tersebut.

“Ingin ditegaskan, pembocoran kenyataan sedemikian adalah satu perbuatan menghina mahkamah dan bersifat prejudis kerana kes tersebut masih dalam perbicaraan mahkamah,” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki dalam satu kenyataan.

Wakil rakyat pembangkang Johor kini sedang mendesak Khaled untuk menjawab sama ada beliau terlibat dalam skandal tersebut. 

Skandal hartanah yang mula terdedah pada Mac lepas turut melibatkan Latif yang merupakan bekas exco kanan Johor.

Amir, Abd Latif dan seorang lagi tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 14 Jun lepas berdepan 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001 membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta.

Terdahulu, Amir dan Abd Latif berdepan 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta pada 19 April.

Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Isnin, Wong Shu Qi (DAP-Senai) menyoal sama ada benar atau tidak Khaled ada menerima wang RM12 juta untuk mengubah status lot perumahan Bumiputera kepada status bukan Bumiputera.

Wong berkata, beliau mendapat maklumat itu dari sebuah laman web yang memuat naik kenyataan saksi dalam siasatan yang dijalankan oleh SPRM.

Setiausaha Publisiti DAP Johor itu turut diperintahkan keluar dari persidangan DUN kerana enggan menarik balik kenyataannya yang mengaitkan Khaled dengan dakwaan skandal hartanah tersebut. – 1 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen