Tangkapan anak saudara Azmin tak ganggu pentadbiran Selangor, kata Pakatan 


Nabihah Hamid

SPRM semalam menahan anak saudara Azmin dan tiga lagi individu untuk direman tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan aktiviti perlombongan pasir haram. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 November, 2017.

PENAHANAN anak saudara Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat skandal rasuah tidak akan menjejaskan pentadbiran negeri itu, kata pimpinan Pakatan Harapan.

Setiausaha Publisiti DAP Selangor Ng Suee Lim berkata rakyat Selangor bijak menilai pencapaian Selangor dan sokongan tidak akan berkurangan hanya kerana skandal rasuah berkaitan aktiviti perlombongan pasir secara haram yang masih dalam siasatan. 

“Saya yakin berdasarkan pencapaian (Pakatan) Selangor yang konsisten, ia tidak beri kesan. 

“Rakyat Selangor bijak dan pandai menilai. Kita sudah masak dengan sepak terajang serangan (lawan) khusus di ambang PRU14. Saya ramal akan ada serangan lagi disasarkan pada Azmin,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight. 

Ng yang juga Adun Sekinchan itu menggesa siasatan dijalankan secara telus.

Beliau juga mempersoalkan integriti SPRM kerana maklumat penahanan yang bocor lebih awal. 

“Ia seolah-olah ada agenda tersirat untuk menjatuh kredibiliti dan nama baik MB Selangor. Tetapi kita apa-apa siasatan kita tiada masalah.

“Janji SPRM perlu siasat secara telus dan adil. Tak kira dia siapa. Tetapi saya persoalkan wibawa SPRM. Siasatlah tapi jangan bocorkan maklumat untuk aibkan,” katanya. 

Sementara itu, Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh berkata tidak adil untuk menghukum Azmin. 

“Yang ditahan anak saudara MB. Bukan MB. Ahli politik tidak bertanggungjawab ke atas skandal ahli keluarganya melainkan jika ada penyalahgunaan kuasa di kalangan ahli politik dalam memperkayakan saudara-mara mereka.

“Dari laporan berita, saya fikir ia adalah tidak adil untuk melaporkannya seolah-olah Azmin adalah orang yang ditahan. Biarkan SPRM menjalankan tugas mereka,” katanya menerusi WhatsApp. 

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menggesa SPRM menjalankan siasatan yang adil kepada sesiapa saja yang disyaki terlibat dalam skandal rasuah. 

“Untuk mengaitkan dengan individu memang cukup mudah. Siapa pun lakukan kesalahan biarlah undang-undang yang menentukan,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Beliau juga menyeru masyarakat menilai agar tidak terpedaya dengan pihak berkepentingan yang sengaja mahu mengaitkan Azmin dalam skandal tersebut. 

“Bila bermotifkan politik, sudah pasti ia akan memberikan kesan negatif pada Azmin. Rakyat kena bijak menilai. Tapi (apa) kita perlukan adalah keadilan bukannya ‘character assassination’,” katanya.

Pejabat Menteri Besar Selangor mendakwa maklumat penahanan anak saudara Azmin sengaja dibocorkan kerana ada konspirasi jahat untuk memburukkan reputasi Azmin dan kerajaan negeri.

“Kita kesal kerana pembocoran maklumat secara meluas melalui media sosial dan blogger Umno sebelum penahanan tersebut dilakukan jelas menggambarkan wujudnya konspirasi jahat untuk memburukkan reputasi Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Selangor menjelang Pilihan Raya Umum ke-14,” kata Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat MB Selangor, Yin Shao Loong. 

Beliau merujuk kepada maklumat “serbuan SPRM” yang beredar di media sosial sejak kelmarin. 

SPRM semalam menahan anak saudara Azmin dan tiga lagi individu untuk direman tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan aktiviti perlombongan pasir haram.

Mereka yang ditahan adalah dua pengarah syarikat, seorang pengurus tapak dan seorang eksekutif syarikat pengiklanan.

SPRM juga membekukan beberapa akaun yang dimiliki oleh syarikat itu, melibatkan sejumlah RM4 juta. – 30 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen