Maklumat penahanan anak saudara Azmin bocor kerana ada konspirasi jahat 


KERAJAAN Negeri Selangor mendakwa maklumat penahanan anak saudara Menteri Besar Mohamed Azmin Ali sengaja dibocorkan kerana terdapat konspirasi jahat bagi memburukkan reputasi Azmin dan kerajaan negeri menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Kita tidak mempersoalkan tanggungjawab SPRM untuk menjalankan sebarang siasatan. Namun, dalam kes ini, kita kesal kerana pembocoran maklumat secara meluas melalui media sosial dan blogger Umno sebelum penahanan tersebut dilakukan jelas menggambarkan wujudnya konspirasi jahat untuk memburukkan reputasi Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Selangor menjelang Pilihan Raya Umum ke-14,” kata Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat MB Selangor, Yin Shao Loong. 

Beliau merujuk kepada maklumat “serbuan SPRM” yang beredar di media sosial sejak kelmarin. 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan empat individu termasuk anak saudara timbalan PKR yang direman tujuh hari bagi membantu siasatan aktiviti perlombongan pasir haram.

Dalam pada itu, kerajaan negeri mengalu-alukan siasatan yang dijalankan secara profesional dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak berkepentingan.

“Barangkali diingat, siasatan ini jangan digunakan sebagai alat untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap skandal rasuah dan amalan kleptokrasi berskala besar yang melibatkan pemimpin negara,” kata kenyataan itu lagi. 

Empat suspek dibawa SPRM ke Mahkamah Putrajaya pada jam 9.30 pagi tadi.  

Empat yang ditahan adalah dua pengarah syarikat, seorang pengurus tapak dan seorang eksekutif syarikat pengiklanan.

SPRM juga membekukan beberapa akaun yang dimiliki oleh syarikat itu, melibatkan sejumlah RM4 juta. – 30 November, 2017.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen