Bekalan air untuk Forest City Johor takkan susahkan rakyat


Ikhwan Zulkaflee

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor Ir. Hasni Mohammad berkata pembekalan air kepada projek tersebut tidak seharusnya memberikan kesan kepada rakyat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2017.

KERAJAAN negeri Johor akan memperhalusi isu bekalan air kepada projek pembanggunan mewah Forest City bagi memastikan bekalan air untuk rakyat Johor mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor Ir. Hasni Mohammad berkata pembekalan air kepada projek tersebut tidak seharusnya memberikan kesan kepada rakyat.

“Apa guna pembangunan yang kerajaan rancang sekiranya rakyat terbanyak dianaktirikan,” katanya dalam sesi penggulungan portfolionya di Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar hari ini.

Menurutnya, syarikat operator air Johor, SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ) telah memberi jaminan untuk memastikan bekalan air dalam negeri mencukupi.

“Setakat ini, Forest City hanya menggunakan kira-kira 6.3 juta liter air sehari (JLH) iaitu tidak sampai 1% daripada keseluruhan permintaan bekalan air di daerah Johor Bahru.”

Hasni menambah pembinaan loji rawatan air (LRA) baru dan penaiktarafan loji sedia ada sedang dijalankan bagi meningkatkan pengeluaran jumlah air terawat bagi menampung keperluan dalam negeri.

“Kewajaran juga dapat dilihat dengan kerja-kerja menaiktaraf LRA Sg. Layang dengan kos berjumlah RM17 juta dan dijangka akan siap pada Mei 2018 yang bakal menambah kapasiti sebanyak 40 JLH.

“Dan rancangan untuk membina LRA Sg. Layang 2 dengan kos berjumlah RM600 juta yang berkapasiti sebanyak 320 JLH serta kerja-kerja perbelanjaan modal yang lain yang memberi impak dalam menyokong pembangunan pesat daerah Johor Bahru,” katanya lagi.

Ahad lalu, seorang wakil rakyat Barisan Nasional Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Abdul Hamid Jumat mendakwa terdapat “desas-desus mengatakan bahawa ada kemungkinan SAJ akan membekalkan air kepada syarikat pemaju wilayah Forest City”.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas itu berkata projek Forest Citu memerlukan lebih kurang 600 juta kubik mililiter air sehari apabila siap sepenuhnya, yang menyamai permintaan air bagi seluruh kawasan Johor Bahru dan Pasir Gudang.

“Ini merupakan sikap amat tidak bertanggungjawab kerana ia seolah-olah membelakangkan keputusan kerajaan negeri yang begitu jelas mensyaratkan agar pemaju wilayah pembangunan tersebut mencari sumber air sendiri dan tidak menjejaskan kepentingan rakyat serta negeri.

“Kita tidak mahu hanya kerana kepentingan untuk mengaut untung, maka rakyat dan bangsa Johor didedahkan kepada kemungkinan tercetusnya krisis air di negeri ini lagi,” katanya.

Tahun lepas, Johor berdepan krisis air yang antara faktornya adalah kemarau panjang menyebabkan catuan air dikenakan di beberapa kawasan. – 30 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen