Cukupkah memajukan filem dengan KPI menang Oscar?


Haris Hauzah

TULISAN  ini ditulis pada waktu Donald Trump baru selesai membina tembok pagar di White House.

Sewaktu gerakan Black Lives Matter sedang menular dari Minneapolis di Minnesota ke Georgia, New York, California, Ohio, Pennsylvania sampai merebak dan mengganas ke serata pelusuk Amerika Syarikat, termasuk Washington DC – tepat di depan kediaman rasmi presidennya.

Pada saat tulisan ini ditulis, dunia masih lagi bertatih. Belajar dan berlatih untuk bangkit dari kejatuhan teruk disebabkan pandemik Covid-19.

Pandemik itu telah mencatatkan lebih 7 juta jangkitan dan lebih dari 400,000 kematian di seluruh dunia.

Di Malaysia, tiada yang tidak terjejas. Daripada badan korporat besar sampai ke perusahaan kecil di kampung. Daripada peniaga yang menguruskan perusahaan sampai kepada mereka yang makan gaji sebagai buruh. 

Sewaktu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersiaran membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di televisyen, Jabatan Perangkaan Malaysia mengeluarkan laporan suku pertama Survei Tenaga Buruh Malaysia bersama statistik utama tenaga buruh Malaysia bagi bulan Mac tahun ini.

Laporan daripada Statistik Tenaga Buruh, Guna Tenaga dan Pengangguran itu melaporkan kadar pengangguran pada Mac bagi tahun ini saja telah mencecah 3.9% iaitu melibatkan sejumlah 610,500 orang.

Jumlah itu adalah kadar tertinggi yang pernah dicatatkan negara semenjak 10 tahun lalu.

Angka itu dijangka akan terus meningkat sebagaimana jangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia yang menjangka kadar pengangguran bakal mencecah sehingga 5.5% atau lebih dari 860,000 orang dijangka akan menganggur menjelang penghujung tahun ini.

Antara yang paling terjejas adalah kumpulan pekerja minoriti dari kalangan mereka yang bekerja secara bebas (freelancer) dalam industri seni.

Muhyiddin menjelaskan Penjana adalah rancangan jangka pendek berupa 40 inisiatif yang melibatkan dana bernilai RM35 bilion yang dirancang bagi menangani segala kemelut kehilangan pekerjaan akibat pandemik. 

Tidak syak lagi ia bertujuan untuk segera melonjakkan semula industri perniagaan dan pekerjaan sekali gus dapat merangsang semula seluruh kegiatan ekonomi yang terjejas termasuk industri seni.

Secara amnya industri seni dan hiburan diperuntukkan sejumlah RM225 juta melalui Penjana, yang akan disalur dalam bentuk program serta kemudahan kewangan. 

Ia akan dilaksanakan melalui usaha sama yang dijalankan pihak kerajaan dengan organisasi seperti MyCreative Ventures, MDEC dan beberapa badan swasta yang tidak dinamakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) dalam satu mesyuarat memutuskan bahawa mereka akan cuba mempercepatkan proses penyaluran dana di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) bagi membolehkan kegiatan industri dapat segera digerakkan.

Selain penstrukturan semula insentif penggambaran, Finas juga merancang untuk menyediakan insentif khas kepada penggiat industri yang mengusahakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Insentif itu dikatakan akan memberikan diskaun sebanyak 50% khusus untuk menanggung kos sewaan alatan dan fasiliti produksi pengambaran. 

Namun apa yang merisaukan ialah persoalan bagaimana dana RM225 juta yang gagal diperincikan, malah diburukkan lagi dengan satu laporan Bernama pada 27 Mei lalu.

Menurut laporan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) yang ada perlu dinilai semula.

Menurutnya, ia perlu ditambah baik dalam rangka untuk memperkasakan pertumbuhan industri kreatif negara ke satu tahap yang lebih baik dan boleh dibanggakan.

Namun apa yang tidak baik adalah persepsi menteri yang merasakan ia hanya boleh dicapai dengan satu kaedah sahaja, iaitu dengan menetapkan satu daripada pelan strategi teras kementerian adalah untuk memastikan ada karya tempatan yang berjaya memenangi anugerah Oscar dan Grammy.

Sebelum ini pengerusi baru Finas juga meletakkan matlamat filem Malaysia menang Oscar. Bagi pengerusi Finas dan menteri, ia satu-satunya langkah mengantarabangsakan karya dan industri seni tempatan.

Pada saat seluruh rakyat dan warga industri seni ditekan kehilangan punca pendapatan begini, seharusnya seorang yang bergelar pengerusi dan menteri yang mengendalikan seni patut mengelak daripada berbuat lawak sebegini.

Langkah-langkah mengantarabangsakan industri seni dan perfileman bukan dengan hanya pasang niat untuk menang Oscar dan Grammy.

Ada banyak aspek utama lain yang perlu diperhati dan diberi perhatian. 

Antaranya ialah mencari jalan untuk memperkayakan lagi pasaran seni tempatan dengan cara meneroka pasaran baru domestik. Platform dan ruang baru kesenian dalam era normal baru harus dicari dan diberi solusi.

Profesion dalam bidang seni harus cepat-cepat diiktiraf sebagai suatu pekerjaan yang dijamin peruntukan undang-undang buruh di negara ini.

Semua itu perlu bagi memastikan bahawa bidang ini bukannya suatu bidang pilihan kedua umpama hobi. 

Langkah memprofessionalkan bidang seni dengan meletakkannya sama rendah dan sama tinggi dengan industri lain, sebenarnya mampu mempertingkatkan kualiti kerja dan tatakelola urusan kerja industri ini.

Selain ia akan pasti berupaya menarik minat pelabur untuk melabur dalam industri yang serba ketinggalan ini.

Pengerusi Finas seharusnya lebih serius dalam kerja dan tindak-tanduk keputusan yang dirancang dan diputuskan – seperti menjelaskan dengan lebih teliti dan terperinci soal pengagihan dana RM225 juta yang perdana menteri umum.

Menteri pula seharusnya lebih serius dalam kenyataannya. Apa yang dilaporkan oleh Bernama itu hanyalah petikan berunsur retorik yang dinaikkan oleh Saifuddin di akaun Facebook peribadinya.

Sebagai seorang menteri yang mempunyai kuasa dan autoriti, tindakannya itu tidak langsung mencerminkan keseriusan dan keupayaan seorang menteri. 

Kesenian menuntut keseriusan dan kepintaran selain bijaksana menyusun strategi buat seluruh pemain industri. Bukan arena menjual angan-angan atau pentas tempat buat bermacam aksi yang melucukan. – 10 Jun, 2020.
 

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen