Pusat hiburan, perarakan keagamaan kekal dilarang


Mohd Farhan Darwis

Muhyiddin turut mengumumkan Sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban akan dibenarkan tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun 2020.

PREMIS hiburan dan perarakan keagamaan dan sebarang aktiviti yang menyukarkan amalan penjarakan sosial masih dilarang, walaupun lebih banyak kelonggaran diberikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Muhyiddin Yassin.

Perdana menteri itu berkata, maklumat penuh senarai kelonggaran dan sekatan yang kekal dikenakan boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Walaupun saya telah mengumumkan banyak kelonggaran, ini tidak bermakna tiada lagi apa-apa sekatan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengawal penularan Covid-19. 

“Beberapa aktiviti atau sektor masih dillarang. Ini termasuk pub, kelab malam, pusat hiburan, pusat refleksologi, pusat karaoke, taman tema, perarakan keagamaan dalam jumlah yang ramai, kenduri-kendara, rumah terbuka dan apa-apa aktiviti lain yang melibatkan kehadiran orang ramai yang bersesak di suatu tempat sehingga menyukarkan amalan penjarakan sosial dan pematuhan kepada SOP,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini, berkaitan status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tamat pada 9 Jun.

Antara lain, Muhyiddin turut mengumumkan Sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban akan dibenarkan tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam. 

Namun begitu, untuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadat, kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi oleh kerajaan dan akan diumumkan sedikit masa lagi. 
 
Manakala, sekolah juga katanya akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh PKPP ini setelah mendapat nasihat daripada kementerian kesihatan dan kementerian pendidikan akan membuat pengumuman terperinci mengenainya sedikit masa lagi. 
 
Waktu operasi perniagaan juga katanya akan kembali seperti biasa dengan pelaksanaan kebiasaan baharu yang melibatkan pemilik premis dan pelanggan. 

“Penjarakan sosial, penggunaan pelitup muka di tempat awam dan membasuh tangan menggunakan sabun atau cecair pencuci tangan merupakan kebiasaan baharu yang mesti diamalkan,” katanya. 

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac, banyak sekatan dan larangan yang dikenakan kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Namun, katanya kerajaan tidak boleh mengawal kehidupan rakyat buat selamanya buat selama-lamanya untuk menghindari jangkitan wabak ini. 

“Saya tahu saudara-saudari juga mahu menjalani kehidupan seperti biasa. Saudara-saudari ingin keluar bekerja, berniaga, beriadah, melancong bersama keluarga dan melakukan aktiviti-aktiviti lain dalam kehidupan seharian. 

“Jadi, kini tibalah masanya kerajaan memberikan lebih banyak kelonggaran kepada saudara-saudari dengan syarat saudara-saudari sendiri mengambil tanggungjawab secara serius untuk mengamalkan kebiasaan baharu kehidupan dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. 

“Ini bermakna, tanggungjawab untuk memastikan wabak Covid-19 kekal terkawal berada di tangan saudara dan saudari sekalian,” katanya, yang juga presiden Bersatu.

Pihaknya juga yakin penularan wabak ini akan kekal terkawal dan rakyat akan memasuki fasa normalisasi selepas 31 Ogos sehinggalah vaksin untuk virus Covid-19 ditemui. 

“Namun, saya ingin mengingatkan sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes positif Covid-19 dalam tempoh ini, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan atau lokaliti yang berkenaan.

“Saya harap kita semua sentiasa berdisiplin supaya peningkatan kes Covid-19 dapat kita elakkan,” kata Muhyiddin.

PKPP dilaksanak dengan berteraskan 7 strategi termasuklah;  pengukuhan kesihatan awam; perundangan dan penguatkuasaan; pengukuhan kawalan sempadan; pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi; dan embudayaan kebiasaan baharu; termasuk pemerkasaan tanggungjawab komuniti; dan perlindungan golongan berisiko. – 7 Jun 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen