Sebelum mula dasar baharu, ambil teladan kegagalan dasar lama


Sheridan Mahavera

Malaysia perlu mengambil peluang melakukan pembaharuan sepenuhnya kepada dasar perindustrian untuk bangkit semula selepas wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2020.

PENGAJARAN mesti diambil daripada dasar perindustrian Malaysia yang gagal sebelum negara mulakan dasar-dasar baharu, kata beberapa pakar susulan gesaan timbul untuk Malaysia menyusun semula ekonominya untuk pulih daripada krisis Covid-19.

Ketika pandemik memperlihatkan kelemahan struktur dalam ekonomi dan menghapuskan banyak perniagaan, ada beberapa suara menggesa agar Malaysia mengambil kesempatan untuk bangun kembali dengan melabur dalam industri yang dapat menghasilkan pertumbuhan jangka panjang.

Sebagai contoh, Malaysia dicadangkan untuk melabur lebih banyak dalam mengembangkan industri tenaga terbaharu dan pengeluaran makanan domestik untuk menghilangkan kebergantungan pada pendapatan bahan bakar fosil dan import makanan.

Walau bagaimanapun, ahli ekonomi lain berpendapat bahawa orientasi semula itu mesti dilakukan dengan berhati-hati agar tidak mematikan perniagaan yang sudah wujud dalam ekonomi dan dapat memberikan pekerjaan dan pendapatan kepada jutaan orang.

Jepun, Korea Selatan dan Taiwan, adalah negara-negara Asia yang kesejahteraan ekonominya didorong dasar perindustrian mereka namun mereka juga mengalami kegagalan, kata pakar ekonomi Prof Woo Wing Thye.

“Terdapat banyak contoh dasar perindustrian yang menjadikan negara mereka muflis, jadi kita mesti kaji semula dasar perindustrian kita sebelum ini untuk melihat kenapa ia tidak berjaya,” kata Woo, ketua Jeffrey Cheah Institute of Southeast Asia di Sunway University.

Antara contoh dasar perindustrian sedemikian rupa ialah projek Perwaja Steel dan Hicom yang dimulakan pada tahun 90-an bertujuan untuk mewujudkan sektor industri keluli dan berat di Malaysia.

Namun, Perwaja harus dijamin sebanyak RM9 bilion sementara lelaki yang menjalankan inisiatif itu, Eric Chia dibebaskan daripada tuduhan salah guna kuasa.

“Oleh itu, sebelum kita mengetahui apa yang salah dalam dasar perindustrian kita sebelum ini, kita seharusnya tidak memulakan yang baru,” kata Woo dalam sebuah webinar yang dianjurkan Dewan Perniagaan Malaysia-China.

“Adakah kerana latihan tidak mencukupi di kalangan penjawat awam kita untuk melaksanakan dasar ini?

“Atau apakah mereka digunakan sebagai alat untuk perlindungan politik? Sekiranya ini adalah sebabnya, mereka tahu apa yang harus dilakukan. Oleh itu, kita mesti mengelakkan kesilapan masa lalu dan tidak membuat kesilapan baharu pada masa akan datang. Ini adalah isu besar, untuk tahu mengapa kita gagal?”

Apa yang membezakan Jepun, Korea Selatan dan Taiwan dari negara-negara Asia lainnya adalah bagaimana mereka dapat menangani dasar atau syarikat yang mengalami masalah kewangan dengan cepat, kata Woo.

“Satu set kriteria objektif harus diterapkan dalam hal dasar. Contohnya, jika wang berterusan habis, kita harus katakan ‘tutup dan lupakan sahaja’.”– 7 Jun, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen