SPRM siasat akaun bank Pemuda Bersatu, kata sumber


Kalidevi Mogan Kumarappa

SPRM tidak lagi bertumpu pada RM250,000 yang dilaporkan hilang tetapi merangkumi urusan dana Pemuda Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2020.

AGENSI anti rasuah menyiasat pemimpin sayap Pemuda Bersatu berhubung kehilangan duit dari rumah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas tidak dapat mengaitkan duit tersebut dengan keluarga bekas menteri belia dan sukan itu, kata sumber.

The Malaysian Insight diberitahu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sudah tidak lagi bertumpu pada duit RM250,000 yang dilaporkan hilang tetapi diperluaskan sehingga merangkumi urusan dana Pemuda Bersatu.

“Tiada bukti yang boleh menyokong dakwaan duit itu milik ibu bapanya dan kerana itu SPRM buat siasatan lanjut untuk mencari sumber wang tersebut.

“Ini membawa siasatan kepada akaun bank Armada Bersatu yang menerima sumbangan derma orang ramai sejak 2018,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Dalam kenyataan media pada 31 Mac selepas melaporkan kehilangan wang itu kepada polis, Syed Saddiq berkata duit RM250,000 itu milik kedua ibu bapanya.

“Sekiranya benar duit itu duit haram, kenapa kami membuat laporan polis? Saya akan memberikan kerjasama penuh dalam membantu siasatan SPRM,” katanya ketika itu.

SPRM minggu ini menahan Bendahari Pemuda Bersatu dan seorang ahli sayap itu, yang juga bendahari sebuah pertubuhan belia, untuk membantu siasatan kehilangan duit dari rumah Syed Saddiq.

Bendahari Pemuda Bersatu direman sehingga Ahad sementara seorang lagi direman sehingga Isnin. 

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata duit RM250,000 itu milik kedua ibu bapanya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2020.

SPRM semalam membuat laporan polis terhadap akaun Facebook atas nama “Ulya Husamudin” yang didakwa memfitnah agensi itu melakukan siasatan bermotifkan politik.

Akaun media sosial itu milik Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Ulya Aqamah Husamudin, yang diketahui menyokong Dr Mahathir Mohamad ketika Bersatu berpecah dua antara kem bekas perdana menteri dan kem presiden Muhyiddin Yassin, perdana menteri sekarang.

Semalam, dalam sidang medianya, Dr Mahathir mendakwa Malaysia sekarang sedang kembali kepada zaman pentadbiran Najib Razak apabila agensi kerajaan khususnya SPRM sedang digunakan sebagai alat politik untuk menekan pembangkang.

Menurut sumber, semua tangkapan SPRM ke atas pemimpin Pemuda Bersatu bermula selepas pihak berkuasa mengesan adanya penyelewengan wang dari akaun bank milik sayap itu, yang dipercayai ada kaitan dengan kehilangan wang di rumah Syed Saddiq.

“Agensi anti rasuah tidak akan membuat tangkapan tanpa bukti yang sahih dan semestinya ia tiada kaitan dengan pengaruh politik,” katanya.

The Malaysian Insight difahamkan siasatan SPRM melibatkan urus niaga akaun amanah saham milik seorang pemimpin Pemuda Bersatu, serta akaun bank sebuah syarikat yang digunakan sebagai akaun sayap itu.

Akaun bank syarikat itu didaftarkan atas nama Bendahari Pemuda Bersatu, kata sumber.

Syarikat itu bagaimanapun sudah tidak lagi aktif sejak awal Januari 2018, berdasarkan rekod di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tambahnya.

“Siasatan ke atas pengurusan dana dan kutipan derma anjuran Armada turut mendedahkan lesen pendaftaran syarikat itu juga sudah tamat sejak 2018 iaitu ketika cabang parti politik itu giat mengumpul dana untuk membantu rakyat dan program parti.

“Berdasarkan akaun Facebook Armada Bersatu, mereka masih menggunakan akaun syarikat yang ditutup ini sehingga tahun lalu,” katanya.

Selain dua individu yang sedang ditahan reman, SPRM dilaporkan sudah mengambil keterangan daripada tiga lagi individu, termasuk Syed Saddiq.

Agensi anti rasuah sebelum ini juga meminta Syed Saddiq untuk mengisytiharkan hartanya, bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM.

Siasatan dibuka selepas agensi itu menerima aduan mengenai “pemilikan (wang) yang meragukan”.

Polis juga pada masa sama dilaporkan memanggil enam individu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung laporan kecurian.

Syed Saddiq membuat laporan polis pada 29 Mac di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, mendakwa wang yang disimpan dalam peti besi di rumahnya hilang.

Dalam laporannya beliau menyebut hanya beberapa orang tahu kod peti selamat itu, yang kali terakhir dibukanya sendiri pada 13 atau 14 Mac. – 6 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen