SPRM tahan seorang lagi Pemuda Bersatu, siasat duit Syed Saddiq hilang


Kalidevi Mogan Kumarappa

Seorang lagi ahli Pemuda Bersatu (Armada) ditahan SPRM berhubung siasatan jejaki punca wang tunai kira-kira RM250,000 yang hilang di rumah bekas ketuanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada hujung Mac. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2020.

AGENSI anti rasuah menahan seorang lagi ahli Pemuda Bersatu (Armada), semalam berhubung siasatan menjejaki punca wang tunai kira-kira RM250,000 yang hilang di rumah bekas ketuanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada hujung Mac.

Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norazlan Mohd Razali berkata, lelaki berusia 27 tahun itu juga adalah bendahari sebuah pertubuhan belia.

“Dia ditahan lewat petang semalam di ibu pejabat SPRM (di Putrajaya) dan direman selama empat hari hingga 8 Jun bagi membantu siasatan. 

“Beliau dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi untuk permohonan reman,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dua hari lalu, SPRM menahan Bendahari Armada berhubung siasatan kes yang sama.

SPRM bulan lalu, mengarahkan Syed Saddiq mengisytiharkan hartanya sebagai sebahagian siasatan ke atas laporan kehilangan wang tunai kira-kira RM250,000 dari sebuah peti besi di rumahnya.

Arahan itu dibuat ketika agensi anti-rasuah itu menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM berkaitan rasuah.

SPRM membuka siasatan selepas menerima aduan mengenai “pemilikan (wang) yang meragukan”.

Setakat ini, SPRM dilaporkan sudah mengambil keterangan daripada tiga lagi individu, termasuk Syed Saddiq yang juga bekas menteri belia dan sukan.

Polis juga pada masa sama dilaporkan memanggil enam individu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan pada 31 Mac lalu, berhubung laporan kecurian.

Syed Saddiq membuat laporan polis pada 29 Mac di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, mendakwa wang yang disimpan dalam peti besi di rumahnya hilang.

Dalam laporannya beliau menyebut hanya beberapa orang tahu kod peti selamat itu, yang kali terakhir dibukanya sendiri pada 13 atau 14 Mac. – 5 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen