SPRM buat laporan polis terhadap akaun Facebook Ulya Husamudin


Minggu ini, SPRM menahan reman dua ahli Pemuda Bersatu bagi membantu siasatan menjejak wang yang hilang dari peti simpanan di rumah ketua sayap itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada hujung Mac. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Jun, 2020.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis terhadap akaun Facebook milik ketua penerangan Pemuda Bersatu (Armada), Ulya Aqamah Husamudin berhubung beberapa hantarannya yang dianggap memfitnah agensi anti rasuah itu.

Lewat malam tadi, Ulya mendakwa SPRM menahan empat ahli Armada yang katanya bertujuan menakut-nakutkan mereka, ketika parti itu bergolak berhubung langkah politik membentuk kerajaan baharu sejak tiga bulan lalu.

“Saya ingin menegaskan bahawa siasatan SPRM bukan bermotifkan politik tetapi berkaitan kes kehilangan wang seorang pemimpin Armada serta penyelewengan dalam akaun Armada.

“Saya berharap semua pihak menghentikan sebarang bentuk spekulasi dan memberikan kerjasama kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan,” kata Pengarah Siasatan SPRM, Norazlan Mohd Razali.

Minggu ini, SPRM menahan reman dua ahli Pemuda Bersatu bagi membantu siasatan menjejak wang berjumlah hampir RM250,000 yang dilaporkan hilang dari peti simpanan di rumah ketua sayap itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada hujung Mac.

Bendahari Armada ditahan dua hari lalu, sementara seorang lagi yang juga bendahari sebuah pertubuhan belia ditahan semalam.

Ulya adalah antara ahli Bersatu yang bersama kem Dr Mahathir Mohamad membantah tindakan presiden Muhyiddin Yassin, yang juga perdana menteri, membawa parti keluar dari Pakatan Harapan untuk bersama Perikatan Nasional.

Ulya juga adalah antara empat ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bertindak keluar dari mesyuarat malam tadi kerana tidak berpuas hati dengan perbincangan mesyuarat. 

Dalam satu hantaran di Facebook pada 3 Jun, Ulya mendakwa “pimpinan Armada sedang ditahan satu persatu” oleh SPRM.

Mereka yang ditahan sebelum itu mendedahkan dan memohon SPRM menyiasat Muhyiddin berhubung satu rakaman audio mirip suara perdana menteri daripada satu mesyuarat MPT Bersatu.

Dalam rakaman itu, suara mirip Muhyiddin terdengar memberi cadangan agar ahli Parlimen Umno dipujuk menyertai Bersatu dengan habuan jawatan sebagai menteri atau mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Rakaman audio itu dipercayai dibuat dalam mesyuarat MPT Bersatu pada 23 Februari, yang sekarang ini jadi titik perbalahan dalam parti yang sedang berpecah itu.

Lewat malam tadi, Ulya menulis beberapa hantaran mendakwa empat ahli Bersatu ditahan oleh SPRM tanpa sebab dan tidak mengikut prosedur undang-undang. – 4 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen