Kalau bincang Perikatan malam tadi, kenapa pecat kami lebih awal, tanya Mukhriz


Mukhriz Mahathir bersama empat ahli Parlimen lain dipecat daripada Bersatu kerana tidak sokong PN dan duduk di blok pembangkang semasa sidang Parlimen pada 18 Mei lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2020.

MUKHRIZ Mahathir mempertikaikan kesahihan pemberhentian keahlian beliau daripada parti, bersama empat ahli Parlimen lain yang tidak menyokong Perikatan Nasional (PN), ketika Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti baru malam tadi membincangkan tentang gabungan politik itu.

Bersatu minggu lalu mengumumkan Mukhriz serta Dr Mahathir Mohamad, dan tiga yang lain, terhenti keahlian mereka daripada parti kerana tidak menyokong kerajaan PN yang diterajui oleh Muhyiddin Yassin.

Mereka didakwa melanggar perlembagaan parti apabila duduk di blok pembangkang semasa sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

“Kalau baru malam ini (Khamis) MPT Bersatu bincang untuk sertai PN, kenapa lima ahli Parlimen Bersatu dipecat kerana tidak sokong kerajaan PN di Dewan Rakyat pada 18 Mei?” tanya Mukhriz, yang juga ahli Parlimen Jerlun, di Twitter.

Tiga ahli Parlimen lain ialah ketua sayap pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), ahli MPT Maszlee Malik (Simpang Renggam), dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin hari ini mengumumkan keputusan mesyuarat MPT Bersatu malam tadi, yang antara lain mengesahkan keputusan badan itu untuk keluar dari Pakatan Harapan dan menyertai PN.

Hamzah berkata keputusan yang dibuat pada 23 Februari itu “bertepatan dengan matlamat, tujuan dan dasar parti”.

Beliau berkata tafsiran MPT Bersatu berhubung peruntukan perlembagaan parti mengenai kedudukan keahlian lima ahli Parlimen itu juga muktamad.

 

Sementara itu, peguam Dr Mahathir, Haniff Khatri Abdullah berkata mesyuarat MPT Bersatu malam tadi jelas menunjukkan selama ini badan itu belum membuat keputusan bersetuju dengan penubuhan PN dan keahlian Bersatu.

“Sudah terang lagi bersuluh, bahawa Bersatu yang pada masa ini dikemudi oleh Muhyiddin ditadbir urus tanpa pematuhan perlembagaan parti sendiri dan tanpa kedaulatan undang-undang,” katanya, dalam satu kenyataan.

Mukhriz juga mempersoalkan kenapa keputusan penting seperti itu tidak dibuat melalui perhimpunan agung khas parti, seperti Umno dan PAS semasa dua parti itu membincangkan kerjasama Muafakat Nasional.

Umno dan PAS menjalin kerjasama rasmi pada September 2019.

Kelima-lima ahli Parlimen yang diberhentikan keahlian dari Bersatu ini membantah tindakan terhadap mereka.

Dr Mahathir minggu lalu merujuk perkara itu kepada pendaftar pertubuhan.

Antara alasan mereka ialah peruntukan yang dipakai untuk pemberhentian keahlian itu disalah tafsir.

Fasal 10 Perlembagaan Bersatu menyebut keahlian seseorang anggota parti itu terhenti serta merta apabila beliau antara lain, mengisytiharkan keluar dari parti (10.2.2) dan menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti di Malaysia (10.2.3).

Mereka menegaskan masih ahli Bersatu.

Mereka sebaliknya hanya membantah tindakan Muhyiddin membawa parti keluar dari Pakatan Harapan pada 24 Februari lalu dan menjalin kerjasama politik baharu dengan Umno – parti yang ditentang oleh Bersatu sebagai antara asas perjuangan dan penubuhannya pada September 2016. – 5 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen