Dr Mahathir rujuk 'pemecatan' daripada Bersatu kepada RoS


Dr Mahathir Mohamad menolak keras tindakan Bersatu memberhentikan keahliannya kerana ia bertentangan perlembagaan parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 Mei, 2020.

DR Mahathir Mohamad merujuk pemberhentian keahliannya daripada Bersatu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan meminta agensi itu menyelesaikan kemelut dalaman parti itu dengan segera.

Dalam surat yang dihantar melalui peguamnya, Dr Mahathir menolak dengan keras tindakan parti memberhentikan keahliannya kerana ia bertentangan dengan perlembagaan parti.

“Anak guam kami tidak pernah mengisytiharkan beliau keluar Bersatu.

“Anak guam kami tidak pernah menyertai mahupun menjadi ahli mana-mana parti,” kata peguamnya Haniff Khatri Abdulla dalam surat itu, yang diserahkan kepada RoS hari ini.

Dr Mahathir juga mempertikaikan kuasa Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya mengeluarkan surat pemberhentian keahliannya, semalam, kerana tidak termaktub dalam perlembagaan parti.

Di bawah Seksyen 16(1) Akta Pertubuhan 1966, agensi itu boleh meminta keterangan mengenai pertikaian dalaman sesebuah organisasi untuk diselesaikan dalam masa sebulan.

Pada masa sama, Dr Mahathir juga menghantar notis kepada Bersatu untuk menegaskan beliau masih ahli parti yang sah.

Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya, hari ini,  berkata beliau masih ahli Bersatu dan kekal menjadi pengerusi parti.

Tambahnya, Setiausaha Kerja Muhammad Suhaimi Yahya tidak ada kuasa mengeluarkan surat “memecatnya” dan empat lagi ahli parti itu.

“Saya ke pejabat hari ini untuk berjumpa Suhaimi bagi meminta penjelasan tetapi saya diberitahu dia tak dapat berjumpa saya.

“Kemudian saya diberitahu dia boleh berjumpa saya tetapi bersama Hamzah Zainuddin. Bagaimanapun kedua-duanya tiba-tiba tak hadir. Saya kecewa, saya mahu tahu sama ada saya masih ahli Bersatu,” kata Dr Mahathir.

Semalam, Suhaimi mengeluarkan surat kepada Dr Mahathir serta empat yang lain memaklumkan bahawa berkuat kuasa serta merta hari ini, mereka bukan lagi ahli parti.

Empat Ahli Parlimen Bersatu yang juga gugur keahlian parti ialah Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir (Jerlun); Ketua Sayap Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar); Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Maszlee Malik (Simpang Renggam); dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Alasannya, kelima-lima mereka tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu. Mereka juga duduk di blok pembangkang semasa sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

Beberapa jam selepas surat itu dilaporkan oleh media, Marzuki Yahya yang mendakwa dirinya masih setiausaha agung Bersatu yang sah memecat Suhaimi.

Marzuki menjalankan tugas sebagai setiausaha agung parti walaupun sudah digantikan oleh Hamzah Zainuddin pada pertengahan Mac lalu, yang juga dipertikaikan kesahihan pelantikannya sebelum ini.

Hamzah diketahui mendukung Muhyiddin, sementara Marzuki memihak kepada Dr Mahathir, ketika Bersatu terpecah dua ekoran kerjasama politik dengan Umno untuk membentuk kerajaan baharu di Putrajaya, hampir tiga bulan lepas. – 29 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen