Los Angeles County tarik balik perintah berkurung


Kematian George Floyd mencetuskan protes di seluruh Amerika Syarikat dan negara lain di dunia. – Gambar EPA, 5 Jun, 2020.

PERINTAH berkurung di Los Angeles County, Amerika Syarikat (AS), ditarik balik pada Khamis malam, lapor agensi berita Xinhua.

“Berdasarkan situasi semasa dan tindakan penunjuk perasaan yang berhimpun secara aman, Jabatan Syerif Los Angeles County tidak mengenakan lagi perintah berkurung,” memetik Twitter Syerif Alex Villanueva pada Khamis pagi.

Sejak empat malam berturut-turut bermula Ahad, daerah AS yang paling ramai penduduk dengan populasi lebih 10 juta itu dikenakan perintah berkurung berikutan protes besar-besaran terhadap kematian George Floyd, lelaki Afrika Amerika.

“Saya setuju dengan keputusan ini - ia memberi lebih banyak peluang kepada penunjuk perasaan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka secara aman tanpa rasa takut ditangkap,” tulis Penyelia Los Angeles County Janice Hahn menerusi Twitternya.

Beliau turut mengingatkan penduduk tempatan, bandar lain mungkin akan mengenakan perintah berkurung mereka sendiri. – Bernama, 5 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen