Bukan salah Melayu


Hasmi Hashim

AMERIKA terbakar. Kedai-kedai dipecahkan. Barang-barang dalam kedai, dicuri.

Bukan sekadar kedai biasa, bahkan ada kedai barang ternama sampai ke galeri seni lukis. Habis diambil orang. Lukisan dan arca juga dibawa entah ke mana. Premisnya ranah. Amerika terbakar. Dari awal pagi. Sampai malam hari.

Polis pun melepaskan gas dan peluru getah. Wartawan pula terkena tembak. Sampai ada kes yang buta sebelah mata akibat tembakan sewaktu membuat liputan.

“Kami wartawan! Kami media!” laung mereka. Malangnya, tetap ditembak.

Amarah tidak tertahan. Kereta polis pun kemudian turut dibantai. Kaca berderai. Kemek-remek badan-badan kereta; ada yang dibakar juga. Dibiar di tepi jalan. Mungkin sebagai “pengajaran” dan bukti “kekuatan” serta rasa geram bercampur benci, bercampur marah, yang amat-amat.

Semuanya tidak lain berpunca daripada kematian seorang lelaki kulit hitam, George Floyd, siang Isnin, 25 Mei lalu.

Dia dikatakan cuba menipu dengan wang 20 dolar. Di sebuah toko. Kemudian pekerja menelefon polis. Kereta peronda datang. Floyd diarah keluar dari SUV-nya. Warna gelap. Tanpa bantah, dia keluar.

Lalu dia kena gari. Tangan ke belakang. Floyd pun dibawa ke depan sebuah SUV lain milik polis.

Di bahagian dekat bawah tayar sebelah kiri kereta peronda itulah, Floyd ditindih dengan kaki kiri seorang anggota polis. Betul-betul atas leher. Lebih daripada 8 minit. Floyd merayu. Minta dilepaskan dari tindihan.

Katanya, “Bro, saya tak boleh bernafas.” Anggota polis tidak mengendahkan. Floyd semakin lemah. Memanggil-manggil “mama-mama-mama”. Mengingatkan emaknya. Beberapa kali. Dia begitu.

Beberapa orang yang menyaksikan kejadian, meminta anggota polis yang menindih leher Floyd, supaya melepaskan. Tapi tidak dipedulikan. Ada rakaman video diambil oleh mereka yang berada di dekat sebatang jalan, di bandar Minneapolis.

Rayuan Floyd sia-sia. Macam angin lalu. Bahkan, bantahan beberapa orang, sia-sia. Melihat Floyd yang semakin terkulai, ada yang menelefon 911. Beberapa minit, bantuan kecemasan tiba.

Ketika pegawai kesihatan sampai – begitu menurut laporan yang kemudiannya dikeluarkan – Floyd sudah mati. Akibat sesak nafas. Ibarat dicekak. Di tempat kejadian. Di bahagian bawah tepi tayar SUV polis. Di bawah lutut beberapa anggota yang tidak punya rasa bersalah apa-apa. Mereka punya gari, punya senjata api dan punya kuasa.

Berselang sehari, Jabatan Polis Amerika memecat serta-merta empat anggota yang terlibat. Seorang daripadanya, Derek Chauvin didakwa atas tuduhan membunuh. Tapi dari nurani ramai rakyat Amerika, nyawa perlu dibayar nyawa.

Orang pun berkumpul. Berdemonstrasi. Di seluruh negara. Di lebih 40 kota. Tanpa mereka menghiraukan lagi pandemik Covid-19 yang sedang mengancam nyawa. Dunia tahu, lebih sejuta orang yang sudah terjangkiti wabak. Lebih 100,000 yang sudah mati.

Bagi mereka, apa pilihannya? Mati kerana wabak, mati kerana maruah? Tiada pilihan ketiga.

Kedua-duanya, berpenghujung kepada satu jawapan yang sama. Mati tetap mati. Sekali ini, biarlah kerana maruah. Kemanusiaan, bagi mereka, sudah berulang-ulang ditekan. Kes-kes kematian di dalam tahanan pihak berkuasa, seperti tiada titik akhir.

Di tepi semua kisah itu, muncul cakap-cakap tentang persoalan perkauman. Sampai ke negara ini. Di mana, di satu sudut, ada yang cuba menyamakan cerita “white supremacy” dengan “ketuanan Melayu”.

Seketika elok kita toleh, apakah sebuah Amerika dengan negara yang didirikan oleh pendatang – awalnya pendatang kulit putih – berbanding Malaysia yang memang sudah berakar lama bangsa-bangsa pribumi termasuk orang Melayu wilayahnya?

Asas masalah Amerika jelas, yakni pendatang kulit putih yang mendakwa membuka persyarikatan negara itu, telah beratus tahun cuba menafikan sejarah. Dan hendak menuliskan sejarah yang baharu.

Sejarah yang cuba dinafikan ialah, ada kaum asal di Amerika – yang sejak awal seakan-akan dijadikan sebagai “cenderamata negara” sahaja.

Antaranya ialah kaum India Merah a.k.a Red Indian. Seraya itu, dilaungkan idea kebebasan dan demokrasi yang disesuaikan agar menjadi teras falsafah penubuhan negara yang baru. Amerika adalah sebuah “penemuan” terhadap “tanah yang baru”.

Apabila dikatakan “tanah yang baru”, seakan-akan tanah itu kosong dan belum bertuan. Tapi, benarkah di dunia yang satu ini, ada “tanah yang baru”?

Idea kebebasan dan demokrasi ala Amerika mustahak bagi memberi tempat kepada kaum pendatang – yang pada mulanya dikuasai orang kulit putih Eropah – mendapat hak-hak berwarganegara.

Pengesahan berkenaan penting bukan untuk mengalahkan kaum pribumi India Merah, tetapi sebagai “lesen” yang perlu ditunjukkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa tidak wujud piawai yang berbeza. Konon tiada perampasan hak kaum asal.

Kini, piawai yang sama sudah mula digunakan oleh orang datang yang lain. Oleh manusia dengan warna-warna kulit yang lain – hitam, cokelat, kuning dan lain-lain.

Mudahnya, kalau orang kulit putih boleh mengambil-alih dan memiliki tanah Amerika, mengapa manusia warna lain tidak boleh?

Alasannya sama – demokrasi dan kebebasan. Amerika adalah untuk semua! Pribumi dan pendatang. Budaya asal atau lama boleh ditimbus. Budaya baru ditanam untuk tumbuh. Budaya baru itulah yang dinamakan “nasionalisme Amerika”.

Walaupun sebenarnya tidak semudah itu.

Amerika, bagi pendatang awal, yakni orang kulit putih, adalah “milik” mereka. Sekurang-kurangnya si kulit putih perlu mempunyai kelebihan-kelebihan lain berbanding si hitam, si kuning, si cokelat dan lain-lain. Nasionalisme Amerika nampaknya tidak benar-benar diterima oleh semua orang di sana.

Cuba kita fahamkan betul-betul, hujah demokrasi nampaknya hanyalah untuk membenarkan pendatang putih menguasai Amerika. Sesungguhnya bukan untuk warna-warna kulit yang lain.

Contoh seperti Amerika adalah contoh yang jarang wujud di negara lain. Kalau pun paling dekat, ialah Singapura. Tidak di India, China, Arab, atau banyak di negara-negara Eropah; betapa kenyataannya setiap negara sudah punya “pribumi” masing-masing.

Mustahil orang Cina boleh mendakwa mereka berasal dari India; orang India mendakwa mereka memiliki China; orang Arab berasal dari Pulau Jawa; atau orang Melayu berasal dari kepulauan Jepun.

Maha suci Tuhan yang menetapkan setiap kaum pada wilayahnya. Apa yang dilakukan selepas itu yang cara-cara untuk mana-mana kaum menjajah tanah yang lain; yang bukan pada asalnya, miliknya.

Fakta-fakta begini tidak boleh dinafikan begitu sahaja. Hujah perkauman ala “white supremacy” Amerika bolehkah terpakai di semua negara – di Arab, Jawa, Korea Selatan, Afrika… bahkan di Malaysia?

Sememangnya manusia boleh menjajah dengan senjata, atau; menjajah dengan hujah. Amerika adalah hasil penjajahan dengan senjata dan hujah.

Di negara ini pun, kematian yang melibatkan pihak berkuasa, tidak hanya melibatkan kaum tertentu. Bukan cuma mangsanya bernama Balamurugan, Thanilas mahupun Teoh Beng Hock. Kematian juga melibatkan Mohd Fadzrin Zaidi, Adib Mohd Kasim, bahkan anak di bawah umur seperti adik Amirulrasyid Amzah.

Suara yang cuba menggunakan kematian Floyd sebagai percubaan menimbulkan api perkauman dan perang psikologi terhadap orang Melayu adalah satu lagi bentuk kejahatan. Sama jahatnya dengan menyatakan ada satu kaum yang istimewa.

Sesungguhnya Melayu sebagai sebuah bangsa tidak ada kena-mengena sama sekali dengan polis yang menindih leher Floyd sampai mati.

Kezaliman pada akhirnya buta warna kulit. Ada putih yang jahat; ada putih yang baik. Ada hitam yang jahat; ada hitam yang baik. Ada cokelat, kuning, biru, merah yang jahat dan yang baik.

Kejahatan selalu berpunca dari sistem keadilan yang dikelirukan, falsafah dan pemikiran yang dipesongkan, dan sejarah tanah yang dimungkiri. – 3 Jun, 2020.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen