Arak tidak membunuh


SEJAK kebelakangan ini, kita digemparkan dengan berita kemalangan maut yang melibatkan individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol. Lepas satu kemalangan, lagi satu menyusul keesokan hari.

Lebih menyayat hati apabila mangsa yang merupakan pengguna jalan raya yang berhemat, meninggal dunia dan si pemandu mabuk tidak mengalami sebarang kecederaan pun. Kemalangan sebegini semakin menjadi setelah kita melangkah ke dalam tahun 2020.

Lebih mengejutkan lagi, setakat hari ini, kemalangan maut yang melibatkan pemandu mabuk sebegini dilaporkan hampir tujuh hari berturut-turut. Untuk perbandingan, negara kita tidak mencatatkan kes kematian Covid-19 dalam 10 hari terakhir ini.

Maka dengan kekerapan kes kemalangan ini, timbulah suara dan gerakan untuk mengharamkan penjualan dan penggambilan arak. Suara ini semakin hari semakin mendapat perhatian dan sokongan.

Walaupun cadangan ini dapat menarik banyak perhatian dan sokongan, ini bukanlah satu jalan penyelesaian terhadap kes kemalangan sebegini. 

Malah, ia satu langkah yang tidak rasional dan terburu-buru. Orang Putih kata ini knee-jerk reaction.

Kes kemalangan sebegini, bukanlah “salah” alkohol. Namun ia berpunca dari sikap dan tamadun segelintir individu yang sangat tidak bertanggungjawab dan tidak prihatin.

Mereka ini ingin juga memandu walaupun sedang berada di bawah pengaruh alkohol. Alkohol dengan sendirinya, tidak boleh dipersalahkan dan dijadikan kambing hitam. Yang salah adalah sikap kaki botol individu tersebut yang masih lagi mahu mengendalikan kenderaan di jalan raya.

Prinsip di sebalik gerakan untuk mengharamkan penjualan arak adalah tidak bernas.

Mengapa kita tidak mengharamkan penggunaan kereta? Bukankah kenderaan kereta itu sendiri yang menyebabkan impak terhadap mangsa sehingga boleh mengakibatkan kecederaan parah dan juga kematian?

Begitu juga dengan isu senjata api; senjata api dengan sendirinya tidak membunuh, tetapi tangan si manusia yang mengawalnya dapat menyebabkan kematian.

Pengharaman penjualan dan penggunaan arak tidak akan dapat menyelesaikan gejala-gejala pemandu mabuk ini.

Kerajaan mempunyai peranan yang amat besar untuk dimainkan dalam menangani gejala ini. Kerajaan perlu mengambil tindakan proaktif untuk mengurangkan lagi kes pemandu mabuk.

Ini dapat dibuat melalui pindaan undang-undang sedia ada untuk meningkatkan hukuman bagi pemandu yang telah memandu di bawah pengaruh alkohol, tidak kira sama ada kemalangan ada berlaku atau tidak.

Mereka juga perlu ambil kesempatan dan menggunakan teknologi sebaik mungkin, seperti medan media sosial. Berbagai kempen boleh diuar-uarkan oleh pihak kerajaan untuk membendung tabiat memandu ketika mabuk ini.

Setakat ini, belum pernah saya melihat peringatan atau iklan untuk banteras gejala memandu di bawah pengaruh alkohol. Yang ada pun, kempen untuk menggunakan suara Doraemon.

Peluang dan platform ada, kerajaan seharusnya memanfaat platform sedia ada ini dengan sebaik mungkin. Kerajaan bersilih ganti, namun belum ada lagi perubahan undang-undang.

Arak tidak membunuh, tetapi yang membunuh adalah sikap tidak bertanggungjawab individu itu sendiri. 

Mengharamkan penjualan arak tidak akan membendung kes pemandu mabuk sebegini.

Kita secara kolektif perlu bertindak secara rasional dan lebih penting, tidak terburu-buru. – 2 Jun, 2020.

*PakLi adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen