Guan Eng nafi campur tangan dalam siasatan SPRM


Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng didakwa menggunakan pengaruhnya untuk mengarahkan peguam negara untuk tidak membekukan akaun milik seorang ahli perniagaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2020.

LIM Guan Eng hari ini nafi salah guna kuasa ketika memenang jawatan menteri kewangan untuk campur tangan dalam siasatan ke atas seorang ahli perniagaan kerana rasuah, dakwa laporan media.

FMT hari ini melaporkan setiausaha agung DAP itu menggunakan pengaruhnya pada 2018 untuk mengarahkan peguam negara untuk tidak membekukan akaun bank ahli perniagaan terbabit.

Lim bagaimanapun menafikan laporan berkenaan dan memberitahu Malaysiakini, kes berkenaan bukan di bawah bidang kuasanya dan ia dirujuk kepada “pihak berkuasa berkaitan”.

“Pihak berkuasa berkaitan yang mempunya kuasa untuk mengambil tindakan,” kata Lim.

Peguam negara ketika itu, Tommy Thomas dilaporkan bersetuju dengan permintaan Lim dan mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tidak membekukan kesemua empat akaun bank berkenaan.

SPRM hari ini mengesahkan seorang menteri Pakatan Harapan terbabit dalam menghentikan sekatan akaun bank milik ahli perniagaan yang disiasat kerana pengubahan wang haram menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Dan ahli politik berkenaan menggunakan pengaruhnya dalam surat peguam negara kepada SPRM untuk menghentikan sekatan ke atas empat akaun,” kata Timbalan Pesuruhjaya SPRM Ahmad Khusairi Yahaya menerusi mesej kepada The Malaysian Insight.

“SPRM mengesahkan bahawa agensi ini mencairkan akaun milik ahli perniagaan itu berdasarkan arahan peguam negara.”

Menurut laporan FMT, kira-kira RM4 juta wang berkenaan yang diharap dapat dikembalikan SPRM, kini tiada lagi dalam akaun ahli perniagaan terbabit.

Wang berkenaan dilaporkan datang daripada perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Lim hari ini berkata, beliau percaya Tommy mengambil tindakan tepat apabila kes berkenaan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

“Saya tiada sebarang akses untuk maklumat atau dokumen, tidak seperti FMT yang nampaknya mempunyai akses penuh kepada perkara itu,” kata Lim.

“Oleh kerana SPRM dengan cepat bertindak atas laporan FMT, agensi anti-rasuah itu perlu dibenarkan untuk menjalankan siasatannya.” – 1 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen