Melintasi sempadan kaum, Cina Malaysia berjuang isu sejagat


Briana Leong Gan Pei Ling

Selepas PRU 2008 dan 2013, lebih ramai belia Cina menubuhkan NGO yang memperjuangkan isu sejagat seperti hak asasi manusia, alam sekitar dan tadbir urus baik, usaha yang dilihat sangat baik dalam sebuah negara pelbagai kaum, agama dan budaya seperti Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2017.

MELEPASI sempadan kaum dan budaya, kumpulan belia Cina Malaysia kini berjuang dan menyokong perjuangan universal seperti hak asasi manusia dan alam sekitar di seluruh negara.

Perubahan itu berlaku selepas Pilihan Raya Umum 2008 yang menyaksikan pergerakan baru wujud memperjuangkan isu selain memelihara pendidikan kaum Cina yang dipelopori Dong Zhong dan Jia Zong, kata Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Tang Ah Chai.

“Ramai belia Cina yang peduli tentang hak asasi, tadbir urus yang baik dan alam sekitar mula menubuhkan NGO mereka sendiri. Ini sesuatu yang sihat kepada demokrasi kita dalam jangka masa panjang,” katanya kepada The Malaysian Insight di Kuala Lumpur.

“Pada Pilihan Raya 2008 dan 2013, kita sudah menyaksikan kerjasama melintasi sempadan etnik. (Sekarang), masyarakat Cina Malaysia kebanyakannya menyedari yang sudah tiba masanya untuk Malaysia berubah daripada politik komunal kepada pendekatan politik yang lebih rangkum pelbagai kaum, budaya dan agama,” kata Tang lagi.

Kumpulan pelobi dan aktivisme generasi Cina Malaysia terdahulu lebih tertumpu kepada pendidikan vernakular dan kepentingan perniagaan suku kaum serta kelompok tertentu yang turut mempunyai hubungan rapat dengan politik penguasa apabila parti mewakili orang Cina, MCA menyediakan jalan dan ruang kepada kerajaan persekutuan.

Tang mengatakan generasi muda kini tidak lagi terbeban dengan tuntuan sejarah yang menjadikan “lebih murah untuk mereka menerima pendekatan baru mobilasi politik”.

Antara pergerakan masyarakat sivil yang menerima tumpuan ramai dalam masyarakat Cina berpendidikan di Malaysia sejak dekad lepas termasuklah Tabung Amanah Teoh Beng Hock Untuk Demokrasi, Baram Kini and Johor Yellow Flame.

The Malaysian Insight bercakap dengan tiga kumpulan ini untuk mengetahui apakah motivasi mereka untuk bergelumang dalam perjuangan seperti hak asasi manusia, pemeliharaan kebudayaan, advokasi alam sekitar serta pendidikan sivil. 

Tabung Amanah Teoh Beng Hock Untuk Demokrasi

Sasterawan Negara A. Samad Said adalah pengerusi tabung tersebut tetapi kumpulan ini digerakkan ramai aktivis Cina Malaysia.

Mereka bersatu bagi menuntut keadilan untuk keluarga Teoh Beng Hock serta membongkar kebenaran di sebalik misteri kematian Teoh dalam tahanan pada 2009. Teoh merupakan pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ean Yong Hian Wah. Beliau terbunuh selepas jatuh daripada tingkat 14 bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam, tempat mendiang disoal siasat berkaitan dakwaan rasuah ke atas Ean Wong.

“Kami sudah buat sehabis baik tetapi masih tiada siapa yang dipertanggungjawabkan (kerana kematiannya). Kami masih mahukan keadilan untuk Beng Hock. Kami percaya keluarganya berhak tahu apa sebenarnya yang berlaku,” kata Naib Setiausaha Tabung Wong Siew Yun.

Kumpulan itu berjaya mengutip lebih RM200,000 pada 2014 yang kemudiannya diubah kepada sebuah tabung amanah bagi menyediakan sokongan kepada ahli keluarga Teoh dan sesiapa sahaja yang kehilangan orang tersayang dalam tahanan.

Tabung itu kini membantu sebuah keluarga Melayu dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang perlu kerap pergi ke Ipoh untuk menghadiri prosiding mahkamah bagi mendengar keterangan koroner berkaitan kematian anak lelaki mereka dalam tahanan polis selepas ditahan kerana tuduhan mencuri pada 2016.

Tabung itu juga menjalankan kursus hak asasi dalam Bahasa Melayu dan Mandarin serta menganjurkan perbincangan awam berkaitan topik hak asasi, seperti forum memperingati Operasi Lalang bulan lepas.

Wong berkata mereka berharap untuk memperluas usaha mereka tahun depan, dan menganjurkan kempen anti penyiksaan serta mencadangkan undang-undang anti penyiksaan diwujudkan bagi mengurangkan salah laku penguatkuasa ke atas tahanan. 

Baram Kini

Aktivis utamanya terdiri daripada hampir 30 orang, Baram Kini membawa orang Semenanjung, kebanyakannya kaum Cina Malaysia melawat dan memahami kebudayaan Orang Asal di Baram, Sarawak.

“Kami mahu mereka menghargai budaya Orang Asal dan keindahan semula jadi di Baram,” kata salah seorang orang kuatnya, Lawai Liew.

Kumpulan itu yang ditubuhkan pada 2013 juga terlibat aktif dalam kempen Orang Asal menentang cadangan Empangan Baram yang akan menyebabkan hampir 20,000 Orang Asal pelbagai kaum- Kenyah, Kayan, Penan- hilang tempat tinggal dan 41,200 hektar hutan hujan tropika ditenggelamkan.

“(Bekas Ketua Menteri Sarawak) Adenan (Satem) sudah berjanji untuk membatalkan (pembinaan) empangan itu tetapi kami percaya kerajaan negeri perlu buat perjanjian hitam putih bagi menyakinkan penduduk tempatan,” kata Liew.

Kumpulan itu juga merancang menjana kewangan bagi memasang sistem mikro hidro bagi menyediakan bekalan elektrik kepada perkampungan Lembah Baram. 

Johor Yellow Flame

Menerusi internet, sekumpulan individu memulakan kumpulan itu pada 2011 bagi menyokong pergerakan Kill The Bill di Kuala Lumpur yang membantah cadangan Akta Perhimpunan Aman yang kini sudah diluluskan menjadi undang-undang.

Mereka kemudiannya mewujudkan akaun page di Facebook bagi mengadakan perbincangan berkala mengenai isu semasa.

Antara topik yang hangat diperdebatkan adalah penderitaan pelarian Rohingya, Bersih 2.0 serta ketelusan proses pilihan raya negara ini, menentang kilang nadir bumi Lynas di Pahang serta kompleks integrasi petroleum Pengerang di Johor.

Perbincangan serta siaran langsung di Facebook selalunya menggunakan Bahasa Mandarin.

“Kami mahu rakyat peduli tentang apa yang berlaku dalam masyarakat kita. Ia platform untuk mereka bebas berbincang.

“Jika ada topik khusus kami mahu aktif perjuangkan, ia adalah pendidikan kepada pengundi serta perubahan politik. Kami tidak berpihak kepada sesiapa (non partisan).

“Kami hanya mahu rakyat lebih aktif dan bermaklumat,” kata salah seorang ahli jawatankuasanya, Elson. – 29 November, 2017. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen