Ada usaha singkir Zahid, kata pemimpin Umno Johor


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berkata usaha tekan Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan presiden parti, gagal kerana tidak mendapat sambutan pemimpin akar umbi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2020.

BEBERAPA individu dalam Umno dikesan cuba menekan Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan presiden parti, kata seorang pemimpin parti kerajaan itu di Johor.

Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed memberitahu The Malaysian Insight usaha tersebut bagaimanapun gagal kerana tidak mendapat sambutan pemimpin akar umbi.

Bekas timbalan menteri dalam negeri itu berkata, gerakan itu dikesan apabila beberapa individu dipercayai cuba meminta ketua bahagian Umno menggesa Zahid melepaskan jawatan.

Katanya, individu berkenaan berusaha sejak bulan lalu dengan meminta ketua bahagian menandatangani perjanjian persefahaman bagi yang meminta Zahid melepaskan jawatannnya.

“Gerakan itu gagal, setakat cakap-cakap di luar tetapi dalam mesyuarat tak cakap apa-apa (mengenai perkara itu).

 “Dekat luar mereka hantar orang jumpa ketua bahagian minta tandatangan memorandum untuk desak Zahid berhenti.

“Alasannya kerana Zahid ada kes mahkamah, sedangkan kes mahkamah belum ada keputusan. Lagipun tidak adil kepada beliau,” kata Nur Jazlan.

Tuduhan yang dihadapi Zahid di mahkamah itu kembali diperkatakan apabila muncul gambar menunjukkan presiden Umno itu bertemu Dr Mahathir Mohamad bersama beberapa pemimpin parti lain.

Pertemuan itu dilaporkan berlangsung sebelum Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa parti itu keluar daripada Pakatan Harapan dan sebelum Dr Mahathir meletak jawatan perdana menteri ketujuh, pada Februari.

Beberapa komentar di media sosial sejak beberapa hari lalu mendakwa kertas yang dibawa Zahid dalam pertemuan tersebut merupakan bukti untuk menunjukkan kepada Dr Mahathir beliau bebas tuduhan mahkamah.

Zahid bagaimanapun semalam menafikannya dan menjelaskan kertas tersebut merupakan pengakuan berkanun dan beliau hadir ke pertemuan yang ditunjukkan dalam gambar itu untuk membawa mandat Umno.

“Adakah dalam perjumpaan seramai itu akan dibincang hal peribadi sedangkan isu utama adalah mengenai perubahan kerajaan?” katanya.

Kaitan kes Zahid itu menjadi tumpuan kerana Dr Mahathir berulang kali bertegas tidak menerima sebarang pemimpin yang menghadapi kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Dr Mahathir yang kini tersingkir daripada Bersatu juga giat menyerang Muhyiddin kerana menjadi perdana menteri hasil kerjasama dengan golongan kleptokrat dan pencuri.

Mengulas lanjut, Jazlan berkata gerakan menekan Zahid itu tidak wajar dilakukan memandangkan Umno lebih stabil hari ini selepas melalui fasa getir apabila tewas PRU14.

“Gerakan desak Zahid berhenti satu gerakan tak bijak dalam masa sekarang parti politik lain sedang berpecah.

“Umno sekarang dah stabil sebenarnya, kita dah melalui masa yang susah, kita perlu rapatkan barisan dan sokong kepimpinan presiden,” kata Nur Jazlan.

Gerakan seperti itu juga katanya tidak memberi nilai tambah kepada kedudukan Umno, sebaliknya hanya menjurus kepada kepentingan individu tertentu untuk mencapai matlamat politik mereka.

“Yang nak buat gerakan suruh presiden berhenti ini buat apa, melainkan atas kepentingan politik pemimpin tertentu,” katanya, lagi.

Nur Jazlan juga berkata, bekas presiden Umno Najib Razak yang juga pengerusi lembaga penasihat Barisan Nasional (BN) dan bekas presiden Umno tidak merestui gerakan itu.

“Saya yakin Najib tidak terlibat dalam gerakan ini, beliau adalah kunci yang mampu menghentikan gerakan menggesa Zahid berundur.

“Kalau Najib setia dengan parti dan tidak melibatkan diri dalam apa-apa usaha desak Zahid turun, gerakan nak turunkan Zahid tak akan berjaya.

“Saya yakin Najib tak libatkan diri dalam usaha tersebut,” kata Nur Jazlan.

Tambahnya dalam situasi semasa politik negara yang kucar-kacir, lebih baik jika Umno kekal stabil dan tidak terlibat dalam kekecohan seperti parti politik lain, katanya.

“Adalah lebih baik Umno ikut kepimpinan sedia ada dan pastikan perpaduan dalam parti sampai pilihan raya,” katanya.

Umno berjaya menyertai kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin selepas bekerjasama dengan PAS, Bersatu, GPS dan parti dalam BN.

Selain mengisi jawatan Kabinet, ramai pemimpin Umno dilantik menerajui syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun. – 1 Jun, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen