Bersedia hadapi Covid-19, berhenti merokok


 HAKIKAT kemudaratan kepada paru-paru disebabkan penyakit koronavirus  seharusnya menjadikan golongan perokok lebih bimbang. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (Who) dalam kenyataannya hasil penyelidikan yang dijalankan pakar kesihatan awam mendapati golongan perokok lebih terdedah untuk mengalami kesan buruk akibat Covid-19 berbanding golongan bukan perokok.

Merokok sememangnya diketahui menyebabkan kesan buruk jangka panjang terhadap kesihatan paru-paru. Ia merupakan faktor risiko kepada pelbagai jangkitan yang melibatkan pernafasan serta penyakit tidak berjangkit seperti penyakit kardiovaskular, kanser dan diabetes. Covid-19 pula merupakan suatu penyakit berjangkit yang menyerang fungsi pernafasan. Melihat kenyataan itu sahaja, hubungan amalan merokok dan Covid-19 umpama ‘cincin dan permata’.

Walaupun agak keterlaluan untuk mengaitkan merokok dan Covid-19 ke tahap sedemikian, namun bukti yang ditemui setakat ini, penyakit yang boleh berjangkit dan membawa maut ini mungkin boleh menceritakan perkaitan tersebut. 

Dalam sebuah penyelidikan yang diterbitkan New England Journal of Medicine menjelaskan dinamika penyebaran awal penyakit ini di Wuhan, China, pasukan penyelidik berkenaan mengenalpasti penyakit tersebut sebagai pneumonia yang berasaskan penyakit Severe Acute Respiratory syndrome (Sars) dan Middle East respiratory syndrome (Mers).

Oleh itu, adalah wajar bagi perokok untuk mengambil langkah berjaga-jaga tambahan terhadap Covid-19 sebagai satu lagi faktor yang boleh mengancam nyawa. 

Dianggarkan sekitar 8 juta orang mati akibat penyakit berkaitan tembakau pada tahun 2017, dengan lebih daripada 7 juta kematian adalah berpunca langsung daripada penggunaan tembakau manakala selebihnya 1.2 juta merupakan mangsa kepada asap rokok.

Di peringkat global, sekitar satu pertiga (33.3 peratus) populasi dunia berumur 15 tahun ke atas merupakan pengguna tembakau pada tahun 2000. Kadar ini telah menurun kepada 22.8 peratus pada tahun 2020 dan dianggarkan untuk terus menurun sehingga 20.9 peratus pada tahun 2025. Rantau Asia Tenggara merekodkan kadar penggunaan tembakau tertinggi dengan 47 peratus dan dianggarkan untuk mencapai kadar prevalens 25.1 peratus pada tahun 2025.

Trend penurunan penggunaan tembakau ini adalah disumbangkan oleh berkurangnya bilangan pengguna tembakau wanita walaupun pengguna tembakau lelaki merekodkan jumlah peningkatan yang konsisten setiap tahun. Terdapat sekitar 90 juta wanita yang berhenti merokok antara tahun 2000 hingga 2015; namun seramai 40 juta lelaki pula direkodkan sebagai perokok baharu dalam tempoh masa yang sama.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 yang menerbitkan satu laporan khusus berkenaan status amalan merokok dalam kalangan orang dewasa di Malaysia mendapati kira-kira 22.8 peratus daripada populasi Malaysia merupakan perokok. 

Sebagai tambahan, Kajian Rokok dan Rokok Elektronik dalam Kalangan Remaja Malaysia (Tecma) yang dijalankan pada tahun 2016 mendapati sekitar 11.7 peratus remaja merokok.

Sehubungan itu, Who telah merangka suatu pelan untuk mengurangkan sehingga 30 peratus kadar prevalens penggunaan tembakau global menjelang tahun 2025 secara relatif kepada tahun 2010. Dalam laporan tentang trend prevalens penggunaan tembakau global tahun 2000-2025, WHO menekankan supaya sasaran berkenaan selari dengan Pelan Tindakan Global bagi Pencegahan Penyakit Tidak Berjangkit 2013-2020. 

Oleh yang demikian, mengurangkan penggunaan tembakau merupakan salah satu kunci bagi mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Lestari untuk menjamin kehidupan yang sihat dan mempromosi kesejahteraan untuk semua.

Bagi mencapai kadar penurunan penggunaan tembakau yang lebih besar dalam tempoh lima tahun akan datang serta selaras dengan WHO Framework Convention on Tobacco Control (FCTC), WHO telah memperkenalkan langkah MPOWER yang merupakan; memantau penggunaan tembakau dan polisi pencegahan, melindungi daripada asap rokok, menawarkan bantuan untuk berhenti merokok, memberi amaran terhadap bahaya merokok, menguatkuasakan larangan terhadap pengiklanan rokok, promosi dan penajaan, dan menaikkan cukai rokok.

Malaysia sebagai negara anggota kepada konvensyen ini telah memberi reaksi yang cemerlang terhadap inisiatif untuk mengurangkan kadar prevalens dalam negara ini. 

Kementerian Kesihatan Malaysia dalam jawapan di Parlimen menyatakan bahawa program mQuit yang terdapat di semua fasiliti kesihatannya mempunyai sasaran kadar kejayaan sehingga 32 peratus. Seterusnya, dalam Belanjawan 2020 melalui petunjuk prestasi utama bagi kesihatan awam yang berkesan, kadar kejayaan program berhenti merokok telah ditetapkan pada 30.5 peratus. 

Namun, kadar yang ditetapkan ini dilihat agak rendah memandangkan kadar sebenar kejayaan program ini pada tahun 2018 dilaporkan pada 45.7 peratus.

Walau bagaimanapun, penurunan kadar pengguna tembakau perlu diperhatikan secara menyeluruh sama ada mereka benar-benar berhenti merokok atau bertukar kepada vape atau rokok elektronik atau mekanisme lain. Kajian Tecma turut mendapati bahawa sebanyak 0.17 juta remaja merupakan pengguna dual, iaitu rokok dan rokok elektronik dan 46.1 peratus daripada mereka bermula dengan merokok.

Artikel 6 WHO FCTC yang mengakui keberkesanan harga dan langkah percukaian dalam mengurangkan permintaan dan penggunaan tembakau hendaklah dilakukan dengan melihat gambaran yang lebih besar terhadap matlamat mengurangkan kesan buruk tembakau terhadap kesihatan individu. 

Komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memperkenalkan undang-undang baharu berkenaan vape khususnya aspek percukaian hendaklah bertepatan dengan objektif pengurangan kadar prevalens pengguna tembakau. Oleh kerana kumpulan berpendapatan pertengahan rendah merupakan kumpulan tertinggi yang menggunakan tembakau pada tahun 2000 dengan 40.4 peratus, kumpulan ini amat sensitif terhadap sebarang langkah harga dan percukaian yang dikenakan.

Dalam kita meraikan Hari Tanpa Tembakau Sedunia setiap tahun pada 31 Mei, sewajarnya untuk diteliti tujuannya untuk menarik perhatian di peringkat global terhadap epidemik rokok di samping kes kematian dan penyakit yang boleh dicegah yang diakibatkan oleh rokok. Lebih-lebih lagi, ancaman pandemik Covid-19 seharusnya mampu memberikan anjakan kepada usaha untuk mengurangkan kadar prevalens penggunaan tembakau di seluruh dunia. – 31 Mei 2020.

*Muthanna Saari adalah pegawai penyelidik, Parlimen Malaysia

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen