PKR sokong pelan peralihan Pakatan


The Malaysian Insight

Pada 29 Mei lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata Pakatan akan mendapatkan sokongan 129 ahli Parlimen terhadap usul tidak percaya ke atas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2020.

PKR akan menyokong usaha Pakatan Harapan (PH) untuk melakukan ‘peralihan politik’ selepas gabungan itu dikatakan merancang untuk kembali menguasai kerajaan persekutuan.

Namun kenyataan Majllis Pimpinan Pusat PKR yang dikeluarkan hari ini tidak menjelaskan secara lanjut peralihan yang akan dilakukan.

Pada 29 Mei lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata Pakatan akan mendapatkan sokongan 129 ahli Parlimen terhadap usul tidak percaya ke atas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.

Sokongan terhadap usul tidak percaya akan menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional tidak mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Perikatan membentuk kerajaan selepas kira-kira 40 ahli Parlimen meninggalkan Pakatan pada hujung Februari lalu untuk menyertai bergabung dengan Umno, PAS dan parti di Sarawak dan Sabah.

Pelan untuk mengemukakan usul tidak percaya sepatutnya dibuat pada 18 Mei lalu tetapi sidang Parlimen yang berlangsung pada hari tersebut hanya untuk mendengar titah Yang-Di Pertuan Agong.

“MPP menyatakan pendirian parti untuk terus mengukuhkan Pakatan Harapan, dan terutama di dalam langkah-langkah berkait peralihan kuasa KEADILAN akan terus bersama Pakatan Harapan,” kata parti itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Dalam mesyuarat MPP hari ini, parti itu turut membincangkan beberapa isu mutakhir termasuk berkenaan usaha membendung penularan wabak Covid-19 serta kesan terhadap masyarakat serta ekonomi negara.

” Memandangkan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang amat meluas termasuk terhadap pendapatan dan pekerjaan, MPP akan mengusahakan penggubalan dasar-dasar terutama berhubung penempatan semula tenaga kerja (redeployment of labour).

“(Begitu juga) usaha memangkin pertumbuhan bagi sektor-sektor ekonomi yang paling terjejas atau yang berpotensi tinggi, penyelesaian masalah akses pendidikan, serta perkara-perkara lain yang melibatkan pertumbuhan ekonomi dan kepentingan rakyat,“katanya.

Wabak itu setakat ini menjangkiti 7,819 orang di Malaysia dan meragut 115 nyawa. – 31 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen