Keterlaluan hukum ahli PKR sebab pemimpin ikut Perikatan, kata Tian Chua


Ravin Palanisamy

Naib Presiden PKR Tian Chua berkata ahli PKR yang menyokong pemimpin parti tiada kena mengena dengan kemelut politik yang menumbangkan kerajaan PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2020.

AHLI PKR yang sebelum ini menyokong pemimpin parti yang sekarang sudah menyeberang ke Perikatan Nasional (PN) tidak sepatutnya dihukum, kata naib presiden parti Chua Tian Chang atau Tian Chua.

Mereka tiada kena mengena dengan kemelut politik yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebaliknya hanya menyokong pemimpin mereka, kata bekas ahli Parlimen Batu itu.

“Kita tidak boleh ambil tindakan ke atas ahli yang menyokong mana-mana pemimpin parti. Itu salah.

“Ahli biasa boleh sokong pemimpin A, B, atau C… tetapi mereka tidak wajar terima akibat daripada pertukaran kerajaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau mengulas tindakan disiplin PKR terhadap ahli parti susulan perkembangan politik pada hujung Februari apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa partinya keluar dari PH.

Pada masa sama, kumpulan ahli Parlimen PKR yang menyokong timbalan presiden parti ketika itu Mohamed Azmin Ali dan naib presiden Zuraida Kamaruddin pula keluar parti, dan menyertai Bersatu, kecuali seorang.

Tindakan mereka menyebabkan PH menyingkirkan Barisan Nasional dari pusat kuasa di Putrajaya dalam pilihan raya umum 2018, menjadikannya pertukaran kerajaan persekutuan yang pertama dalam sejarah negara sejak Merdeka.

Menurut Chua, beliau faham ahli PKR rasa dikhianati kerana pembelotan dan peralihan sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Namun langkah PKR memecat 285 ahli dan menggantung 348 orang – keseluruhannya lebih 600 ahli – seperti yang diumumkan oleh pengarah komunikasi Fahmi Fadzil pada 4 Mei lalu, adalah “keterlaluan”.

“Semua perbahasan ini ialah tentang ahli parlimen PKR yang menyeberang, menukar sokongan, menyebabkan kerajaan sebelum ini tumbang.

“Jadi, tiada sebab untuk hukum ahli biasa untuk itu.

“Parti boleh beri mereka amaran, beri apa saja nasihat atau boleh terangkan bahawa tindakan sesetengah ahli parlimen itu salah. Itu okay, tetapi untuk ambil tindakan, saya rasa itu keterlaluan,” katanya.

Tian pula adalah antara beberapa ahli PKR yang diberikan surat tunjuk sebab. Beliau sudah memberikan balasannya dan kini menunggu keputusan parti.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil pada 4 Mei lalu umum parti memecat 285 ahli dan menggantung 348 yang lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2020.

Chua, yang selalu dilihat sebagai orang tengah antara dua kumpulan dalam PKR, berkata parti itu sudah terlalu lama terbeban dengan imej pecah belah dan berpuak-puak.

Katanya, Azmin yang dipecat dari parti adalah pendukung kuat presiden Anwar Ibrahim. Beliau juga tidak setuju dengan label “orang Anwar” atau “orang Azmin”.

“Siapa lagi penyokong Anwar yang lebih kuat selain Tian Chua? Siapa lagi penyokong Anwar yang ” tanyanya.

“Macam mana hendak kata yang kami ini bukan penyokong Anwar?

“Kalau bukan sokong Anwar, bagaimana kami habiskan 20 tahun hidup ini untuk bersamanya dan mempertahankan dia?” katanya.

Chua merujuk tempoh perjuangan panjang yang bermula selepas Anwar dipecat dari kerajaan dan Umno pada 1998 dan setelah didakwa di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa dan liwat.

“Saya tak mahu Azmin bukan penyokong Anwar. Macam mana orang boleh kata begitu? Tidak masuk akal. Azmin Ali adalah antara penyokong Anwar.”

Chua tidak menjawab secara langsung soalan tentang rancangan bekas pemimpin dan ahli PKR yang dipecat atau keluar dari parti untuk menubuhkan parti baharu. Mereka sekarang bergerak di bawah beberapa badan masyarakat.

Chua juga menjarakkan dirinya daripada episod yang dikenali sebagai “Langkah Sheraton” – perhimpunan kumpulan ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Muhyiddin bersama ahli Parlimen dari bekas PKR, BN, dan PAS, di sebuah hotel di Petaling Jaya, untuk membentuk gabungan baharu politik.

Katanya, beliau tidak ada kena mengena dengan perkara itu.

“Saya tidak kena mengena dengan Langkah Sheraton. Itu saja saya boleh cakap.

“Saya tak peduli apa orang kata dan saya tidak risau apa orang hendak gelar saya. Mereka boleh panggil saya apa saja. Saya ada rakam jejak yang cukup untuk menunjukkan sumbangan saya kepada parti.

“Setakat yang saya tahu, perpecahan ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Perselisihan faham, termasuk pertembungan antara Anwar dan Azmin, kata beliau, sepatutnya dilihat sebagai sebahagian daripada perbezaan dalam berpolitik.

“Ia tidak perlu sampai kepada perbalahan dan berpuak-puak dalam parti.

“PKR ini parti yang majmuk. Kita ada gerakan yang terdiri daripada orang daripada pelbagai ideologi dan latar belakang. Jadi sudah tentu kita akan ada banyak perbezaan. Itu biasa,” katanya.

Chua, yang tidak bertanding dalam pilihan raya umum yang lalu, kini sedang menggerakkan sebuah badan sukarelawan antara lain untuk membina Malaysia yang progresif.

Katanya, badan itu yang terbuka kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang juga mahu membina semula kekuatan rakyat dan negara, selepas terjejas akibat penularan Covid-19.

Badan yang belum dinamakan itu dijangka dilancarkan secara rasmi dalam masa terdekat. – 31 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen