Pekerja asing tanpa izin dilayan dengan baik, kata menteri


Noel Achariam

Kerajaan mempergiat usaha menahan pekerja asing tanpa izin ketika PKP, tindakan yang mencetuskan kritikan kumpulan hak asasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2020.

PUTRAJAYA melayan semua pekerja asing tanpa izin dengan baik tidak seperti dakwaan pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil, kata Ismail Sabr Yaakob.

Menteri Pertahanan itu berkata walapun kerajaan bertindak ke atas kumpulan itu, mereka masih diberikan kemudahan asas dan rawatan kesihatan.

“Walaupun mereka diuji positif Covid-19, kita rawat mereka.

“Jika orang kata kita tak peduli tentang pekerja asing haram, ia tidak benar.

“Kita harap ahli politik atau kumpulan masyarakat sivil tidak cuba jadi hero untuk pekerja asing haram,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau mengulas laporan media berkaitan dakwaan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pagi tadi bahawa kerajaan tidak melayan pekerja asing dengan baik sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Mungkin Suhakam keliru kerana ada dua kategori pekerja asing di Malaysia. Mereka yang ada permit dan mereka yang bekerja secara haram di sini,” tambah Ismail lagi.

Dalam wawancara disiarkan Astro Awani hari ini, Suhakam mempersoalkan tindakan pihak berkuasa menahan pendatang asing bagi mengekang wabak Covid-19 sehingga menimbulkan sentimen buruk terhadap golongan itu.

Ismail berkata pekerja asing sah dilindungi kerajaan dan mendapat banyak manfaat daripada majikan mereka kerana mereka berada di negara ini secara sah.

“Tidak ada masalah dengan pekerja asing di sini. Kita perlukan mereka untuk pembinaan, perladangan dan sektor lain.

“Kita layan mereka baik. Mereka ada Perkeso dan kita ikut standard antarabangsa.

“Masalahnya adalah pekerja asing haram. Mereka masuk secara haram dan tidak ada dokumentasi.”

Tambahnya, situasi semasa negara tidak mengubah status pekerja asing tanpa izin di Malaysia.

“Sebab itulah mengapa kita merancang untuk hantar mereka pulang.

“Jika mereka (Suhakam) kata kita menyerbu pekerja asing tanpa izin ketika PKP, ia tidak benar.

“Mereka tidak ada dokumen kerana mereka pendatang haram dan kita tak boleh lepaskan mereka.

“Bukannya kita ambil kesempatan menyerbu ketika PKPD. Kita ambil tindakan kerana mereka pendatang haram.”  – 27 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen