KKM sanggah kes Covid-19 melonjak kerana sambutan Aidilfitri


KKM menolak tanggapan orang ramai bahawa lonjakan kes semalam ada kaitan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 Mei, 2020.

KESAN rentas negeri dengan kebenaran atau tanpa kebenaran ke atas jumlah kes Covid-19 hanya dapat dilihat dalam tempoh 14 hari dari sekarang, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM juga menolak tanggapan orang ramai bahawa lonjakan kes semalam ada kaitan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Ia tiada kaitan dengan kelonggaran rentas negeri yang diberikan kepada individu tertentu dan sambutan Hari Raya,” menurut kenyataan KKM di Facebook hari ini.

“Oleh kerana tempoh inkubasi adalah 14 hari, kesan rentas negeri dengan kebenaran atau tanpa kebenaran hanya dapat dilihat dalam tempoh 14 hari dari sekarang.”

“Begitu juga dengan kebenaran ziarah hari raya. Jika ramai tidak mematuhi SOP, kes boleh meningkat berkali ganda dan ini dapat dilihat tempoh 14 hari dari sekarang.”

KKM berkata pihaknya menjangkakan lonjakan kes dalam tempoh dua ke tiga hari lagi dan sebahagian besarnya membabitkan pendatang asing tanpa izin (Pati) di depoh tahanan imigresen.

“Bagi KKM, jangkitan ini ‘lebih mudah dikawal’ kerana berlaku dalam kawasan yang dikawal.  

“Strategi sasaran tertumpu yang digunakan KKM akan lebih berkesan untuk mengesan pesakit,” jelas kementerian itu.

Bilangan kes di depoh tahanan dijangka meningkat kerana pemeriksaan lebih menyeluruh di tiga depoh dan keputusan hasil ujian makmal sebelum ini yang masih diperolehi, tambah kenyataan KKM.

“Kebimbangan yang ditunjukkan orang ramai susulan pertambahan kes baharu ini adalah sesuatu yang positif. 

“Apabila kita bimbang, secara langsung kita akan meningkatkan amalan-amalan pencegahan yang disarankan.”

Bagaimanapun, KKM juga bimbang penularan berita palsu dan maklumat yang mengelirukan.

Kes jangkitan Covid-19 di Malaysia melonjak kepada tiga angka apabila 172 kes jangkitan baharu dilaporkan semalam.

Daripada jumlah itu, 112 kes disahkan di depoh tahanan imigresesn di Semenyih, Bukit Jalil dan Sepang.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 7,417. – 26 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen