2 menteri Chile positif Covid-19


Sebanyak 4,895 kes baharu Covid-19 dan 43 kematian dilaporkan di Chile semalam. – Gambar EPA, 26 Mei, 2020.

KES jangkitan Covid-19 terus meningkat di Chile semalam, dengan hampir 5,000 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam, yang turut membabitkan dua menteri negara itu.

Kementerian kesihatan Chile mengesahkan 4,895 kes baharu dan 43 kematian di negara Amerika Selatan itu semalam.

Menteri Kerja Raya Alfredo Moreno dan Menteri Tenaga Juan Carlos Jobet dilaporkan turut dijangkiti virus Covid-19.

“Saya dimaklumkan bahawa keputusan ujian Covid-19 yang saya positif,” umum Moreno di Twitter, menambah beliau tidak mengalami sebarang gejala.

Moreno, 63, kini menjalani kuarantin selepas salah seorang pegawainya disahkan positif.

Jobet juga diuji positif Covid-19 selepas menjalani kuarantin bermula Sabtu lalu.

“Beliau mengalami gejala ringan, yang mungkin ada kaitan dengan virus,” menurut kenyataan Kementerian Tenaga pada Sabtu.

Kenyataan juga menyebut Jobet, 44, tiada kontak langsung dengan Presiden Sebastian Pinera atau menteri kabinet lain dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Kementerian bagaimanapun tidak menyatakan bagaimana Jobet dijangkiti.

Tiga lagi menteri yang menjalani kuarantin selepas mempunyai kontak dengan individu positif Covid-19 telah disahkan negatif dan kembali semula bekerja.

Kes Covid-19 di Chile melonjak minggu lalu, menyebabkan kerajaan menguatkuasakan perintah berkurung di Santiago.

Sebanyak 90 peratus daripada 74,000 kes di Chile dilaporkan di Santiago. – AFP, 26 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen