Mahukah anda meniaga ‘food truck’?


Zaidel Baharuddin

ACAPKALI kita baca atau dengar orang berbincang tentang perniagaan food truck, sekali sekala kita akan dengar pegawai kanan kerajaan atau Adun menyebut orang muda kini suka berniaga food truck, seolah-olah ia merupakan satu model perniagaan baharu yang bakal membuka satu pasaran perniagaan yang belum pernah diceburi masyarakat sebelum ini.

Tapi sebenarnya food truck ini bukanlah perkara baharu, ia sudah wujud zaman berzaman, daripada bentuk pakcik jual taufu fa hinggalah ke mamak cendol bawah pokok di Taman Melawati.

Sesungguhnya menjual makanan di atas lori bukanlah seperti perniagaan online, ia bukan benda baharu, lori sudah ada di Malaysia jauh lebih lama daripada Internet berkelajuan tinggi.

Malah ingin saya lontarkan satu persoalan kepada anda. Selain berada di atas lori, apakah beza berniaga di atas food truck dengan menjual goreng pisang atau nasi lemak di tepi jalan? Asasnya kita berniaga makanan dan food truck itu samalah seperti kedai, kafe atau payung pasar malam, ia hanyalah tempat kita berniaga.

Maka jangan kita mulakan niat ingin berniaga dengan kaedah food truck tetapi kita wajar mulakan langkah ke alam keusahawanan dengan membentuk minda dan tindakan untuk memulakan satu-satu perniagaan berasaskan makanan atau minuman. Mulakan langkah dengan niat untuk menjual produk makanan seperti nasi lemak, soto, kopi susu, nasik campur, pasta, chee cheong fun, karipap sardin atau apa-apalah dan cuba tanya pada diri sendiri: “Benda yang aku masak ni orang nak makan ke? Nak beli ke tak?”

Perkara pokok di sini adalah pemahaman asas pelanggan hanya akan datang dan beli produk anda kerana ia sedap dan bukannya kerana anda jual di atas lori. Kalau makanan anda tu sedap, hatta anda jual di celah lorong antara kedai atau bawah pokok ketapang pun orang akan datang.

Produk dan perkhidmatan

“Food” (makanan) adalah produk, “Truck” (Lori) adalah perkhidmatan, ia model perniagaan yang membawa satu-satu produk kepada pembeli dan pengguna. Dengan adanya lori, satu-satu peniaga itu boleh menawarkan produknya di tiga atau empat tempat sehari. Kalau anda bercadang untuk membeli atau membuka food truck hanya dengan meletakkannya di satu tapak kosong yang sama sepanjang hari ingin saya cadangkan anda fikir semula keputusan anda itu.

Ini kerana model perniagaan anda tidak kena dengan model perniagaan food truck tetapi ia lebih mirip kepada pasar malam dan pasar tani. Untuk memiliki lori, agak mahal, bukan saja daripada segi kos beli tetapi kos lain seperti cukai jalan, lesen khas, minyak dan kos selenggaraan. Anda juga perlu ingat, apabila anda menaik taraf lori menjadi food truck, lori berkenaan tidak lagi boleh digunakan untuk perkara lain. Sekiranya anda mengikuti model perniagaan penjaja, anda hanya perlu membeli sebuah kenderaan yang luas seperti van atau Proton Exora yang jauh lebih murah, jimat dan boleh digunakan untuk aktiviti lain seperti kenderaan balik kampung atau jalan-jalan di hujung minggu.

Janganlah anda memandang ralat untuk menjaja secara tradisional kerana anda rasa ia kurang bergaya, tidak seperti tukang masak yang anda tonton dalam Astro itu tadi kerana hakikatnya itulah model perniagaan anda, menjaja.

Sebab itu kalau anda perhatikan gerai food truck yang mengenakan harga RM18.90 untuk masakan pasta bolognese dengan tiga ketul bebola daging kurang mendapat sambutan. Ini kerana orang ramai akan berpendapat apa kejadahnya mereka membayar harga tinggi untuk makan di tepi jalan sambil melihat kenderaan lalu-lalang.

Kesimpulan

Berdasarkan pengalaman saya di KPDNKK yang banyak melibatkan keushawanan dan perniagaan kecil saya dapati terdapat satu pemikiran di kalangan masyarakat mengenai idea food truck ini yang agak merisaukan .

Ini termasuk skim yang ditawarkan pihak tertentu kepada usahawan muda yang ingin memulakan perniagaan sendiri. Memiliki lori merupakan liabiliti dan asas kepada perniagaan ini bukanlah untuk memiliki sebuah lori yang boleh menjual benda, tetapi untuk punyai satu benda yang boleh dijual. Seringkali kita lihat sebahagian besar laba pinjaman yang diberikan kepada usahawan food truck akan dihabiskan kepada pembelian lori sedangkan ia lebih baik digunakan bagi meningkatkan kualiti makanan dijual dengan pembelian alatan atau bahan masakan lebih baik.

Kita faham niat murni sesetengah agensi kerajaan ingin menggalakkan anak muda berniaga menawarkan pelbagai program melibatkan food truck namun saya risau kalau kita memberikan gambaran yang salah tentang apa erti berniaga itu kebarangkalian gagal agak tinggi yang akan menyebabkan usahawan muda menanggung hutang tinggi pada usia muda.

Secara tuntasnya kalau kita hendak memulakan perniagaan, kembalilah kepada perkara pokok iaitu produk atau perkhidmatan. Kalau nak jual nasi lemak, berusahalah menjual nasi lemak yang sedap dan diminati orang ramai, kalau nak jual pasta, jual pasta yang orang hendak makan pada harga orang nak beli, kemudian kalau kita dapati dengan menjualnya di atas lori yang memudahkan untuk kita bergerak, barulah kita beli food truck itu. – 4 May, 2017.

*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen