Kluster baharu di tapak pembinaan catat 44 kes, kata KP Kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Sebelum ini satu kluster dikesan di tapak pembinaan di Jalan Ampang di Kuala Lumpur sebelum satu lagi kluster dikesan di tapak pembinaan di Setia Alam di Shah Alam pada awal bulan ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2020.

SATU kluster baharu dikesan di tapak pembinaan di Kuala Lumpur dengan 44 kes dilaporkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Daripada kajian kami (KKM) besar kemungkinan pekerja asing yang bekerja duduk di tempat tertutup atau ruangan sempit. Itu menjadi faktor utama jangkitan menular dalam kalangan mereka,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini. 

Beliau bagaimanapun tidak memberikan maklumat lanjut berkenaan kluster itu, namun menggesa syarikat pembinaan supaya memberi perhatian bukan sahaja kepada prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja tetapi juga kepada penempatan pekerja. 

Dr Noor Hisham berkata walaupun SOP di tapak pembinaan ada, tetapi syarikat pembinaan hanya menumpukan kepada tempat bekerja sahaja. 

“Apa yang penting lihat kepada penempatan mereka (pekerja) iaitu rumah dan cara mereka duduk. Contohnya di Masjid India, satu flat yang kecil ada 30 orang tinggal bersama,” katanya. 

Dr Noor Hisham berkata syarikat pembinaan harus melihat kepada faktor lain selain mematuhi SOP kerana ruangan sempit adalah antara penyebab virus berjangkit. 

“Kami (KKM) percaya ruang sempit adalah satu faktor penting perlu perhalusi dan lihat bagaimana boleh laksanakan penjarakan sosial. Hari ini kita tidak ada vaksin, tetapi ‘vaksin’ yang ada ialah penjarakan selamat,” katanya. 

Sebelum ini satu kluster dikesan di tapak pembinaan di Jalan Ampang di Kuala Lumpur.

Kemudian satu lagi kluster dikesan di tapak pembinaan di Setia Alam di Shah Alam pada awal bulan ini.

Malaysia hari ini mencatatkan peningkatan kes baharu Covid-19 dengan 172 kes jangkitan baharu.

Daripada keseluruhan kes baharu itu, 152 kes merupakan warga asing dengan 112 daripadanya dikesan di tiga Depot Tahanan Imigresen. – 25 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen