Kes Covid-19 semakin kurang, Jepun tarik balik perintah darurat 


Orang ramai bersantai ketika perintah darurat di Taman Yoyogi, Tokyo, Jepun. Kerajaan menarik balik perintah darurat dari kawasan Metropolitan Tokyo termasuk Kanagawa, Saitama dan Hokkaido. – Gambar EPA, 25 Mei, 2020.

JEPUN bersedia menarik balik perintah darurat di seluruh negara berhubung koronavirus pada Isnin, secara beransur-ansur membuka kembali ekonomi ketiga terbesar di dunia selepas pertambahan kes baru semakin berkurangan.

Berbanding kawasan terjejas teruk di Eropah, Amerika Syarikat, Rusia dan Brazil, keadaan Jepun lebih baik, dengan jumlah 16,581 kes dan 830 kematian.

Bagaimanapun ancaman jangkitan diluar kawalan, Perdana Menteri Shinzo Abe mengisytiharkan keadaan darurat awal di Tokyo dan enam wilayah lain pada 7 April - kemudian memperluaskannya ke seluruh negara.

Perniagaan dan sekolah digesa ditutup dan rakyat diminta tinggal di rumah tetapi “penutupan” Jepun jauh lebih longgar berbanding negara lain di dunia dan tiada hukuman bagi yang melanggar peraturan.

Rakyatnya banyak patuh perintah itu, dengan sebilangan besar jalan yang terkenal di Tokyo menjadi sunyi, dan jumlah jangkitan baharu turun dari 700 sehari kepada hanya beberapa puluh di seluruh negara.

Tahap kebersihan dan kesihatan awam yang tinggi, tidak memakai kasut di dalam rumah, pemakaian topeng yang meluas, tunduk sebagai salam berbanding berjabat tangan atau ciuman, yang memberi kelebihan kepada mereka.

Jepun dikritik kerana tahap pengujian yang relatif rendah dengan sekitar 270,000 dilakukan, kadar per kapita terendah dalam kumpulan tujuh ekonomi negara maju, menurut Worldometer.

Tetapi pihak berkuasa Jepun menegaskan ujian besar-besaran bukan strategi mereka, kerana kes rendah sudah memadai untuk mereka menjejaki kontak yang agresif bagi mengekang kluster.

Namun, ujian meningkat dalam beberapa minggu terakhir ketika pihak berkuasa memberi amaran kemungkinan gelombang virus berikutnya yang mungkin menjejakan strategi sebelumnya.

Kemudahan perubatan juga ditingkatkan selepas kisah mangsa koronavirus sukar mendapat katil di hospital - disebabkan isu pentadbiran kerana hanya beberapa pusat dikhaskan untuk menangani virus tersebut.

Walaupun jumlah korban jiwa tidak teruk, ekonomi yang sudah mengalami masalah akibat bencana alam dan kenaikan cukai penggunaan - turut terjejas.

Ekonomi ketiga terbesar di dunia itu mengalami kemelesetan pertama sejak 2015, data yang diterbitkan minggu lalu menunjukkan, menyusut sebanyak 0.9% pada suku pertama.

Dengan aktiviti ekonomi yang semakin perlahan, tahap deflasi semakin meningkat, dengan harga pengguna pada Mac mencatatkan penurunan pertama dalam tempoh lebih tiga tahun. – AFP, 25 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen