Boris Johnson pertahan penasihat


Perdana Menteri Britain Boris Johnson semalam mempertahankan penasihat kanannya Dominic Cummings yang didakwa ingkar perintah sekatan pergerakan bagi membendung Covid-19. – Gambar EPA, 25 Mei, 2020.

PERDANA Menteri Britain Boris Johnson semalam mempertahankan penasihat kanannya Dominic Cummings yang didakwa ingkar perintah sekatan pergerakan bagi membendung Covid-19.

Johnson menolak desakan supaya Cummings dipecat kerana merentas negeri bersama isterinya yang disyaki dijangkiti Covid-19. Cummings sebelum ini telah diarahkan menjalani kuarantin di rumah kerana mengalami simptom jangkitan virus itu.

Johnson semalam memberitahu pemberita beliau percaya penasihatnya itu bertindak dengan penuh tangggungjawab dan mematuhi garis panduan.

“Saya merumuskan bahawa membuat perjalanan untuk mencari penjaga anakanya ketika beliau dan isteri tidak mampu melakukannya disebabkan Covid-19, dan beliau tiada pilihan lain, pada saya beliau hanya mengikut naluri setiap bapa dan ibu bapa,” kata Johnson.

Cumming dilihat bersama anaknya yang masih kecil berdekatan rumah ibu bapanya di Durham di timur laut England, lebih 400km dari rumahnya di London pada 31 Mac lalu. Ia sehari selepas beliau dilaporkan mengalami gejala jangkitan.

Akhbar The Observer dan Sunday Mirror melaporkan Cummings sekali lagi melanggar sekatan pergerakan apabila dilihat berada di Durham buat kali kedua pada 19 April, beberapa hari selepas kembali bertugas di London selepas lawatan pertamanya ke sana.

Seorang lagi saksi memberitahu dua akhbar berkenaan bahawa Cummings turut dilihat di Barnard Castle, yang terletak 30km dari Durham pada 12 April lalu. Saksi itu membuat laporan polis terhadap Cummmings atas dakwaan melanggar perintah sekatan. – AFP, 25 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen