Apa tindakan kerajaan ke atas majikan langgar syarat subsidi upah, soal peguam


Skim subsidi upah diperkenal Putrajaya untuk menghalang majikan daripada membuang pekerja kerana kesan wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2020.

SEORANG peguam mempersoalkan kemampuan Putrajaya bertindak ke atas majikan yang menerima pakej subsidi upah tetapi masih membuang pekerja. 

Subsidi upah di bawah pakej rangsangan ekonomi bagi mengurangkan kesan Covid-19 menetapkan majikan yang menerima subsidi itu tidak boleh membuang pekerja selama enam bulan.

Tetapi, peguam Arun Kumar berkata kerajaan “mungkin tak berupaya” bertindak ke atas majikan yang mengabaikan syarat enam bulan tidak buang pekerja itu.

“Skim subsidi upah tidak berasaskan mana-mana perundangan yang diluluskan Parlimen, tidak seperti negara lain yang menggubal undang-undang khas Covid-19 sebelum memberikan bantuan kewangan dengan syarat (perundangan) tertentu.

“Dalam keadaan sekarang, mungkin akan ada halangan untuk kerajaan Malaysia bertindak ke atas majikan jika mereka membuang pekerja selepas terima bantuan.

“Di bawah undang-undang buruh sedia ada, majikan hanya perlu memaklumkan Jabatan Buruh jika mahu buang pekerja,” katanya pada webinar membincangkan kesan Covid-19 ke atas pekerja anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Arun berkata, Jabatan Buruh kemudiannya akan menyiasat dan mengesahkan kes syarikat yang memohon untuk membuang pekerja.

“Beban adalah ke atas syarikat untuk buktikan kerugian. Kerana itu pegawai (kerajaan) perlu diberikan lebih banyak kuasa supaya undang-undang itu lebih berkesan,” katanya.

Seorang lagi ahli panel webinar itu, Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Azlan Awang berkata hanya 16% atau RM2.22 bilion daripada RM13.8 bilion di bawah Skim Insuran Pekerjaan Perkeso (EIS) yang diperuntukkan untuk pakej subsidi upah diedarkan.

Subsidi itu untuk dua juta pekerja yang digaji 267,752 majikan.

Bagaimanapun, Azlan berkata skim itu sepatutnya memberi manfaat kepada sembilan juta pekerja.

“Mungkin ada banyak sebab untuk jumlah yang rendah ini. Antaranya, mungkin ada majikan dalam proses permohonan lagi, ada juga yang tidak mempunyai dokumen diperlukan.

“Tetapi mungkin juga ada majikan tak berminat kerana salah satu syaratnya adalah mereka tak boleh buang pekerja selama enam bulan,” kata Azlan. – 24 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen