Aidilfitri dalam tempoh PKP perlu diterima secara positif, kata MB Kelantan


Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata, PKP yang telah dilalui rakyat selama lebih dua bulan sekali gus mencipta normal baharu dalam melakukan sesuati aktiviti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2020.

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mengehadkan pergerakan individu sehingga tidak dapat pulang ke kampung halaman perlu diterima secara positif oleh rakyat Kelantan terutama dalam kalangan perantau.

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata telah lebih dua bulan rakyat melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus mencipta normal baharu dalam melakukan sesuatu aktiviti.

“Sambutan Aidilfitri pada tahun ini juga dalam keadaan normal baharu. Keadaan ini amat berlainan kepada anak Kelantan khususnya yang berada di perantauan yang sudah menjadi kebiasaan saban tahun pulang untuk menyambut Aidilfitri di kampung bersama keluarga.

“Manfaatkanlah sepenuhnya alat komunikasi yang ada sebagai pengganti diri untuk kita bertanya khabar ibu bapa dan sanak saudara di kampung halaman,” katanya dalam satu perutusan khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1441H/2020M.

Beliau berkata kerajaan hari ini telah berusaha sebaik mungkin agar segala tindakan dan pendekatan yang diambil dapat memastikan kehidupan dan kebajikan rakyat sentiasa diambil berat.

“Sepanjang tempoh ini adalah amat penting kepada seluruh rakyat untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dengan mematuhi segala arahan dan garis panduan yang ditetapkan supaya wabak yang melanda ini dapat dibendung dan dikawal dalam masyarakat kita,” katanya.

Ahmad turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan penghargaan kepada semua pihak petugas barisan hadapan, para doktor, kakitangan perubatan, pihak keselamatan dan para penjawat awam yang berusaha sebaik mungkin dalam mengekang penularan Covid-19.

“Tidak lupa kepada pimpinan barisan hadapan peringkat bawahan, para penghulu, penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), petugas pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan petugas media yang telah menunjukkan pengorbanan dan dedikasi yang tinggi untuk kesejahteraan rakyat dalam tempoh yang mencabar ini.

“Semoga segala amalan yang dilakukan sepanjang Ramadan lepas dimakbulkan oleh Allah SWT dan diterima disisiNya. Dalam kesempatan ini marilah kita sama-sama bermaafan, meningkatkan serta mengukuhkan lagi silaturrahim dan jangan lupa kita berdoa kepada Allah SWT,” katanya. – Bernama, 23 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen