Amerika Latin kini pusat krisis Covid-19


Pekerja tapak perkuburan Campo de Esperanza menyempurnakan pengebumian mayat pesakit Covid-19. Brazil kini melaporkan 291,579 kes jangkitan dengan 19,000 kematian. – Gambar EPA, 23 Mei, 2020.

PERTUBUHAN Kesihatan Dunia (WHO) semalam mengisytiharkan Amerika Latin sebagai “pusat krisis baharu” pandemik koronavirus, ketika Presiden AS Donald Trump mendesak supaya gereja dibuka semula walaupun ancaman Covid-19 belum reda.

Lonjakan kes jangkitan terus berlaku di seluruh Amerika Tengah dan Selatan, menjadikan jumlah keseluruhan kes semakin tinggi, malah mungkin seteruk di Eropah, dan Amerika Syarikat (AS).

Covid-19 setakat ini meragut 335,500 nyawa sejak muncul kali pertama di China hujung tahun lalu, dengan lebih 5.1 juta kes jangkitan dilaporkan di 196 negara dan wilayah.

Brazil minggu ini menjadi antara tumpuan dengan jumlah kematian melepasi angka 20,000 – dan dengan 310,000 kes jangkitan, Amerika Latin kini negara ketiga paling teruk terjejas selepas AS dan Rusia.

“Amerika Selatan kini pusat krisis terbaru wabak itu,” kata Pengarah Kecemasan WHO Mike Ryan.

“Pada masa ini, Brazil yang paling teruk terjejas.”

Kebanyakan kes di Brazil berpusat di Sao Paulo yang ramai penduduk, tetapi kadar jangkitan tertinggi di Amazonas, dengan 490 dijangkiti bagi 100,000 populasi, katanya.

Tidak seperti di Eropah dan AS di mana warga emas paling teruk terjejas, di Brazil jumlah kematian paling ramai dalam kalangan orang muda, di mana kemiskinan menyebabkan mereka keluar bekerja walaupun dalam ancaman pandemik itu.

“Memandangkan Brazil mempunyai populasi lebih muda, ia normal kes kematian di bawah umur 60 tahun yang paling ramai,” kata ahli epidemiologi do University of Brasilia Mauro Sanchez.

Dengan jumlah kematian melonjak, penggali kubur di luar Sao Paulo terpaksa bekerja keras untuk memastikan semua mayat dapat dikebumikan. – AFP, 23 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen