Covid-19 tular di depoh tahanan sebab pendatang tinggal beramai-ramai, kata menteri


PENEMPATAN pendatang asing beramai-ramai di depoh tahanan imigresen dipercayai salah satu punca Covid-19 merebak di pusat tersebut, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, jangkitan tersebut ditangani dengan menghantar semua individu positif ke hospital sementara di Bukit Jalil, katanya.

“Di depoh mereka bukan tinggal sebilik. Mereka tinggal beramai-ramai di dormitori. Sebab itu mungkin berlaku penularan dari salah seorang dan akhirnya merebak,” katanya dalam sidang media.

Tambahnya kes melibatkan pendatang yang ditangkap sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa.

“Selepas itu masuk (pendatang) dari PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) dari Jalan Masjid India,” katanya.

Seramai 60 pendatang yang didapati positif dari pusat tahanan Bukit Jalil sudahpun dihantar ke hospital sementara tersebut manakala ujian dijalankan ke atas 1,200 tahanan, katanya.

Tambahnya, seramai 14 individu lain termasuk pegawai imigresen di pusat tahanan dan individu berkaitan seperti pembekal turut disaring.

Beliau juga mengesahkan dua lagi kes positif Covid-19 dikesan di kalangan tahanan di depoh Semenyih.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam mengumumkan sebanyak 35 kes positif dikesan dalam kluster baharu Covid-19 di Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

Menurutnya, jangkitan itu melibatkan 17 warga Myanmar, 15 warga India, seorang warga Sri Lanka, seorang warga Bangladesh dan seorang warga Mesir.

Katanya, jangkitan mungkin berpunca daripada pekerja pusat tahanan atau dapur dan siasatan masih dijalankan.

Menurut Dr Noor Hisham, individu yang positif sudah diasingkan dan kementerian mengesan kontak individu terlibat. – 22 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen