Dr Mahathir terpaksa buat keputusan segera, kata Daim


Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tiada pilihan ketika mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan ketua Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2020.

TIDAK adil menyalahkan Dr Mahathir Mohamad kerana melakukan kesilapan dengan meletak jawatan sebagai perdana menteri, kata Daim Zainuddin.

Beliau memberitahu The Malaysian Reserve bahawa Dr Mahathir menyatakan dengan jelas dalam video di Facebook yang beliau tidak mempunyai banyak pilihan selain meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan ketua Bersatu.

Bekas menteri kewangan itu berkata kerana pada waktu itu, Bersatu menolak Dr Mahathir dan enggan mengikut nasihat serta rayuannya untuk kekal bersama Pakatan Harapan (PH).

“Hanya selepas itu, beberapa orang di dalam Bersatu memintanya menarik balik perletakan jawatan beliau sebagai ketua PH.

“Beliau bercakap mengenai prinsip, tetapi segalanya sudah terlambat.

“Ia bukanlah begitu mudah, sama ada beliau melakukan kesilapan atau tidak. Anda perlu memahami apa yang berlaku pada masa itu.

“Beliau tidak ada masa untuk mempertimbangkan semua jalan. Beliau harus membuat keputusan dengan cepat,” kata Daim semasa wawancara dengan The Malaysian Reserve hari ini.

Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 24 Februari, yang juga mendorong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa parti itu daripada PH, yang mengakibatkan jatuhnya pakatan pemerintah.

Muhyiddin kemudian menjadi perdana menteri pada 1 Mac dengan sokongan Umno, PAS,  pakatan pemerintah Sarawak GPS dan beberapa pihak bebas dari Sabah.

Daim juga ditanya mengenai kejayaannya sendiri sebagai utusan khas perdana menteri ke China.

“Saya sedang berunding projek saluran paip gas tetapi perubahan kerajaan berlaku. Saya menulis surat kepada PM (Muhyiddin) kerana beliau mungkin mempunyai calon lain untuk mengambil alih,” katanya.

Beliau berkata Muhyiddin melantik utusan khas ke China yang akan dapat memberi nasihat kepada kerajaan mengenai bagaimana untuk berurusan dengan negara itu.

Muhyiddin melantik Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing, sebagai utusan khas Malaysia ke China, dengan pangkat menteri pada 20 April. – 22 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen