Polis akan panggil Xavier kerana kenyataan didakwa hasutan


Polis akan memanggil Ali Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar susulan kenyataannya yang didakwa berunsur hasutan dan provokasi terhadap sidang Parlimen yang berlangsung Isnin lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2020.

POLIS akan memanggil Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar susulan kenyataannya yang didakwa berunsur hasutan dan provokasi terhadap sidang Parlimen yang berlangsung Isnin lepas.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata bekas menteri air, tanah dan sumber asli itu akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini, kita sudah menerima 33 laporan seluruh negara berhubung dakwaan itu dan siasatan sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada Isnin lepas, menerusi satu video berdurasi selama hampir tiga minit, Ahli Parlimen Kuala Langat telah mengeluarkan kenyataan akan pendapatnya mengenai sidang sehari itu dan kerajaan.

Semalam, Gerakan Aktivis Tuntut Malaysia (TUNTUT) turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya terhadap  Xavier yang seolah-olah menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada hari sama, Bersatu Bahagian Wangsa Maju turut membuat laporan polis berhubung isu sama terhadap Xavier. – Bernama, 20 Mei, 2020.


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen