Polis mahu mohon bon kawal mulut Lokman Adam


Kalidevi Mogan Kumarappa

Lokman Adam adalah antara individu terbanyak yang polis pernah buka kertas siasatan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2019.

POLIS akan memohon bon mahkamah dikenakan ke atas pemimpin Umno Lokman Noor Adam untuk mengawal beliau daripada terus membuat kenyataan yang boleh mencetuskan keadaan huru-hara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, pihaknya akan memohon bon mahkamah itu sebagai syarat tambahan ke atas Lokman.

Tindakan polis ini susulan siasatan terbaru terhadap Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berhubung kenyataanya yang berbaur hasutan di media sosial pada 27 Oktober lalu dengan tajuk “Bersiap sedia untuk peperangan paling dahsyat”.

“Oleh itu, polis akan memohon mahkamah untuk menetapkan bon dengan syarat tambahan terhadap Lokman yang kini sedang menjalani satu perbicaraan kerana pertuduhan membuat kenyataan mengapi-apikan orang awam berhubung kes kemalangan di Kajang,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Dalam kenyataan itu, Lokman berkata Dr Mahathir Mohamad cuba menyekat Presiden PKR Anwar Ibrahim daripada menggantikannya sebagai perdana menteri, seperti yang dipersetujui Pakatan Harapan.

Jelas Huzir, jika mahkamah meluluskan bon seperti yang dipohon, Lokman perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain berkelakuan baik dan tidak mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan.

“Dia (Lokman) adalah antara individu terbanyak yang polis pernah buka kertas siasatan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

“Kenyataannya adalah serius dan boleh mendatangkan provokasi kepada golongan tertentu.

“Saya ingin ingatkan Lokman kami boleh ambil tindakan ke atasnya pada bila-bila masa dan tidak lagi buat kenyataan seperti ini,” katanya.

Huzir turut mendedahkan polis setakat ini sudah membuka 17 kertas siasatan terhadap Lokman atas pelbagai kesalahan termasuk Akta Hasutan yang dilakukan setakat 27 Oktober lalu.

“Tujuh kertas siasatan dibuka oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas manakala 10 lagi dibuka di kontinjen lain. Beliau sering melakukan kesalahan kerana membuat kenyataan berunsur hasutan,” katanya 

Sementara itu, Huzir berkata, polis mengesan seorang lagi pemilik akaun Facebook bernama Maran Muniandy yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dengan membuat perbandingan antara tahanan Sosma dalam kes Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan Daesh.

“Kami sudah mengenal pasti Maran dan beberapa individu lain yang membuat komen pada posting itu.

“Tindakan akan diambil mengikut lunas undang-undang dalam masa terdekat,” katanya. – 30 Oktober, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen