Mengapa Melayu miskin bukan isu biasa


Zainal Rashid Ahmad

Di Kuala Lumpur 26 ribu (57%) penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) gagal menjelaskan tunggakan sewa RM58 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2020.

PADA tahun 70-an majoriti Melayu adalah orang miskin. Keadaan kemiskinan jadi lebih teruk bagi keluarga yang memilih meninggalkan kampung. Tidak mudah memulakan hidup berkeluarga di bandar.

Pada tahun 1975, ayah saya memilih berpindah ke Pumpong, Kedah setelah kami dihalau keluar dari rumah sewa di Kampung Kilat di Alor Setar. Ayah saya bekerja sebagai buruh di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dengan gaji RM180 sebulan.

Gaji kecil yang sukar untuk membesarkan keluarga dengan empat anak. Walaupun sewa rumah RM20, ayah saya tidak dapat membezakan mana lebih utama; makanan, persekolahan, perubatan atau sewa rumah.

Kerana memilih makanan, persekolahan dan kesihatan sebagai keutamaan keluarga, duit sewa rumah selalu gagal dilunas. Jadi, saya membesar dengan berpindah-randah hingga berusia 12 tahun.

Tuan rumah sebenarnya baik hati. Tidak pernah ada yang memaki-hamun kerana ayah gagal membayar sewa. Mereka meminta dengan baik supaya mengosongkan rumah.

Tuan rumah bukan orang kaya. Mereka juga perlukan pendapatan RM20 sebulan untuk menanggung kehidupan keluarga. Ketika zaman secupak beras hanya 90 sen, tiap ringgit amat bererti bagi penyewa dan tuan rumah yang sama-sama miskin.

Jadi, kami pindah pada malam hari. Bukan lari malam. Tuan rumah sudah tahu kami akan keluar. Cuma, untuk mengelakkan cuaca panas, kami mengangkat barangan pada malam hari. Orang miskin berpindah hanya dengan berjalan kaki.

Tiada perabut atau barangan elektronik. Hanya pakaian yang dibungkus dalam ikatan kain batik dan periuk belanga. Kami berjalan sekitar 10 kilometer.

Pada usia 5 hingga 12 tahun – kami empat beradik berjalan kaki. Bagi kanak-kanak pada zaman keluar malam tidak dibenarkan, perjalanan setiap kali berpindah rumah sangat menyeronokan.

Semua perjalanan antara jarak 10 atau 15 kilometer ini langsung tidak meletihkan. Setiap berpindah rumah tempat baharu akan memberikan pengalaman menarik.

Paling menggembirakan apabila berpindah ke Pumpong. Sebab pertama kali tinggal di kampung kecil di tepi Sungai Kedah.

Sungai adalah kenikmatan bagi kanak-kanak pada zaman kehidupan bermain air dan mandi-manda di sungai masih satu kebiasaan di Alor Setar.

Kami duduk di rumah kayu yang kecil sekitar 500 kaki persegi. Satu bilik kecil untuk ibu dan ayah. Satu ruang tamu untuk tidur adik beradik dan dapur yang sempit.

Bilik air di tepi tangga dapur di luar rumah. Tiada dinding kecuali tempayan dan timba. Kami berdiri atas batu ketika mandi. Tandas pula hanya kotak kayu di tepi sungai yang jaraknya 30 meter dari rumah.

Itulah dunia orang Melayu tahun 70-an. Di kampung Pumpong hanya ada 11 rumah. Kena berjalan kaki sekitar 300 meter untuk masuk ke kampung yang lain.

Begitulah kawasan petempatan sepanjang sungai di pinggir bandar Alor Setar. Dari Pumpong ke Pantai Johor sampai Anak Bukit dan Titi Gajah.

Di kampung tiada istilah keluarga miskin. Sebab semua orang hampir sama status hidupnya. 

Saya cuma tahu kemiskinan ketika berada di sekolah. Ayah menghantar saya ke Sekolah Rendah Iskandar, Alor Setar. Sekolah majoritinya anak-anak orang kaya.

Sebab sukar punya wang makan serta tidak pernah mampu membeli buku sekolah yang lengkap – barulah sedar keluarga saya miskin.

Pada tahun 1974 hingga 1979, sistem buku teks belum diperkenalkan. Jadi saya kerap menarik bangku dan menumpang meja rakan ketika belajar. Ia normal lama ketika wujud pelajar miskin di sekolah anak-anak orang kaya.

Kemiskinan juga menyebabkan saya selalu ponteng kelas kerana kesukaran memiliki wang tambang bas. Jarak rumah ke sekolah sekitar 15 km. Matilah kalau mahu berjalan kaki setiap hari.

Hidup tidak selalunya lapar kalau di rumah. Ayah hanya berjuang menyediakan beras yang dibeli. Lauk-pauk boleh dicari tepi sungai. Siput paip senang diperolehi hanya dengan menebang batang nipah dan membiarkan daunnya jatuh tepi sungai.

Dua jam kemudian, ditarik naik ke darat, hujung batang ke hujung daunnya siput melekat. Kalau pakai kail, Sungai Kedah di pinggir Alor Setar dipenuhi ikan; keli, puyu, lampan dan kerap juga mendapat udang galah. 

Kalau pun terpaksa makan nasi dengan garam, itu masih satu kebiasaan.

Tanyalah budak miskin yang melalui zaman kanak-kanak tahun 70-an dan 80-an. Cerita begini satu kisah biasa-biasa saja 45 tahun lalu.

Kisah budak Melayu kurang gizi tidak akan jadi tajuk berita dan artikel akhbar zaman itu. Tidak juga menjadi tajuk puisi atau cerpen.

Sasterawan sudah menulisnya dengan banyak tema mengenai kemiskinan Melayu sejak dekad 50-an dan 60-an.

Menulis lagi tema yang sama, karya begitu dianggap sudah basi. Tahun 70-an, dunia kewartawanan dan kesusasteraan lebih cenderung pada isu ideologi dan politik.

Kewartawanan politik masih kekal hingga sekarang. Sastera pula sudah berubah dan sejak dekad 80-an dengan dipenuhi karya-karya kegilaan penulis mencipta idea-idea aneh untuk mendapatkan perhatian.

Isu Melayu miskin terus kekal pada dekad 80-an. Demografinya makin komplikated akibat krisis upah rendah. Paling terkesan pada isi rumah buruh Melayu bandar.

Ayah terus bekerja di MADA sampai tahun 80-an dan pencen sekitar tahun 90-an. Dengan gaji kecil, keadaan jadi makin sukar untuk mencukupkan makan dan pakaian tujuh beradik.

Kos persekolahan tetap tinggi walaupun buku teks mula diperkenalkan pada 1981. Pada tahun itu, pakaian sekolah, yuran dan makanan kantin mula meningkat harganya.

Sedihnya, gaji buruh tetap di takuk lama.

Begitulah dunia miskin bandar dalam latar tahun 70-an. Kemiskinan tetap milik majoriti Melayu. Tetapi belum ada istilah gelandangan.

Dua puluh tahun lepas merdeka, orang Melayu ramainya masih seperti keluarga saya. Ribuan orang seusia saya sekarang memiliki kenangan yang sama. Kisah miskin begini anggap saja normal lama.

Miskin bandar 2020 dan normal baharu

Apabila menjadi wartawan pada 1994, media massa sudah dipenuhi dengan cerita kejayaan Melayu dalam perniagaan dan ekonomi.

Konsep membanggakan orang Melayu dibangunkan secara beragenda oleh media massa. Sama ada bahan kewartawanan media cetak dan program drama TV. Selalunya padat dengan tema Melayu kaya-raya.

Akhbar dipenuhi berita tokoh korporat berjaya yang dilahirkan Dasar Ekonomi Baru. Drama TV pula penuh krisis perebutan harta keluarga hartawan.

Kisah kemiskinan hanya berita sampingan. Itu pun wujud sebagai realiti bandingan. Kononnya, kemiskinan hanya beberapa kerat di pedalaman. Melayu sebenarnya sudah makmur hidupnya.

Kisah penoreh getah yang miskin di Baling, Kedah atau Gua Musang, Kelantan muncul kerap juga. Tetapi dengan editorial, kaum tani kini mula maju kerana orang Melayu sudah ada agensi Mara dan Felda.

Cuma, realiti di bandar berbeza. Di Kuala Lumpur, pada tahun 2002 - kisah gelandangan mula menjadi fokus. Itu pun gelaran asal ialah kutu-rayau yang dikaitkan dengan dadah dan pelacuran.

Pete Nicol aktivis Green Outreach ialah aktivis pertama yang menyeret saya mendekati dunia gelap kemiskinan. NGO projek amal ini menyediakan makanan kepada ratusan gelandangan.

Memang majoritinya penagih dadah dan pekerja seks. Saya menjadi lebih prihatin pada isu jalanan apabila mengikuti projek Yayasan Salam.

Pada 2000 hingga 2010, isu Melayu jalanan di Kuala Lumpur relatif dengan dadah dan 

Pelacuran. Media massa termasuk saya sebagai wartawan masih percaya; dadah musuh utama Melayu.

Hanya pada 2013, melalui NGO Laskar4Life – saya terdedah pada isu-isu baharu. Penagih dadah dan pekerja seks bukan lagi masalah di jalanan.

Krisis utama Melayu Kuala Lumpur ialah miskin bandar yang tidak kecukupan segalanya. Termasuk perkara asas yang menakutkan – akses kepada makanan.

Pada 2015, Projek Makanan Laskar4Life tidak lagi mengisi perut 1600 gelandangan yang disantuni pada 2013. Angka penerima mula menjurus ke keluarga miskin yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur.

Penagih dadah dan pekerja seks kini sangat minoriti di jalanan. Projek makanan gelandangan sejak 2015 ialah keluarga yang hidup di jalanan kerana pendapatan kecil dan tidak mampu menyewa rumah.

Atau kisah anak-anak miskin dari PPR yang muncul mengutip makanan dan dibawa pulang ke rumah bagi mengisi perut keluarga.

Rupanya kemiskinan Melayu pada 2020 ini lebih menakutkan dari kisah keluarga saya 45 tahun lalu. Mereka lapar ada Sungai Kelang tidak mencari lauk. Tiada ulam dan sayuran untuk dijadikan teman nasi dalam pinggan.

Sastera Melayu dan drama TV masih riuh dengan obsesi intrinsik dan plot keluarga berebut harta. Kewartawanan masih seputar kisah politik yang perlu diselesaikan laporannya agar rakyat tidak terus keliru.

Isu kemiskinan kekal jadi topik yang marginal.

Data Miskin Bandar 2018

Di Kuala Lumpur 26 ribu (57%) penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) gagal menjelaskan tunggakan sewa RM58 juta. Walaupun sewa hanya RM124 sebulan, terdapat isi rumah yang masih berhutang antara setahun hingga sepuluh tahun.

Majoriti isi rumah yang berhutang sewa rumah berpendapatan kurang RM1,500 sebulan. Selain itu, faktor penyewa warga emas dan tanggungan isi rumah melebihi lima orang menambahkan lagi kemelut hidup isi rumah PPR.

Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 28 September 2018, melaporkan data kepada Kaukus Parlimen seperti berikut.

Terdapat 190,534 keluarga miskin di negara ini dengan 134,553 adalah miskin tegar. Secara demografi, 107,114 (56%) isi rumah berada di bandar. Bakinya 83,420 (42%) tinggal di luar bandar.

Ini perangkaan klasik menggunakan RM980 sebulan sebagai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 1974. Angka ini yang menyebabkan hanya 0.4 peratus rakyat Malaysia dianggap miskin.

Sekadar rujukan, sekiranya RM2 ribu dijadikan PGK, angka kemiskinan akan meningkat ke paras 10%.

Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Dr. Phillip Alston menggunakan angka median lebih tinggi. Menurutnya, median PGK negara ini sepatutnya RM3126.

Data realistik PBB ini boleh menyebabkan angka penduduk miskin di Malaysia mencecah 20%.

Sekiranya pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini menjunam minus 2% akibat kemelesetan ekonomi, apakah bencananya?

Masihkah miskin bandar kekal sebagai isu marginal?

Atau, kita akan kembali ke dekad 70-an dengan sikap menerima sahaja hakikat orang Melayu memang miskin?

Jadi, diam-diam saja kerana itu hanya satu cerita biasa. – 20 Mei, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen