Mencari makmur bersama


“TANAH air akan indah, megah dan bermaruah

jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah

dan bumi akan subur, makmur dan mewah

jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama”

Petikan di atas adalah daripada sajak “Hidup Bersama” yang ditulis oleh Sasterawan Negara A Samad Said. Sajak ini membawa makna yang luas tentang kenegaraan serta kemanusiaan. 

Jika diteliti rangkap sajak yang dipetik, terdapat dua inti penting yang ingin disampaikan sosok yang lebih dikenali dengan nama Pak Samad ini.

Pertama, segala pemberian Tuhan ke atas bumi Malaysia ini perlu disyukuri dan dimanfaatkan demi melihat tanah air kita dijulang indah, megah dan bermaruah.

Kedua, bersatu padulah kita sesama rakyat Malaysia demi melahirkan negara yang subur, makmur dan mewah.

Sebelum pergi lebih jauh, kita perlu fahami dahulu apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan makmur? Jika dirujuk kamus, ia membawa maksud keadaan yang serba cukup.

Maknanya, jika kita mahukan sebuah negara yang makmur, negara itu perlu cukup dari segenap segi. Jika kita mahukan kehidupan yang makmur, kehidupan itu perlu lengkap. Tiada sebarang kekurangan.

Namun, timbul pula persoalan baharu. Sebuah kehidupan dan negara yang serba cukup itu bagaimana pula keadaannya? Apa yang perlu kita lakukan untuk memastikan negara dan kehidupan kita lengkap dalam segenap segi?

Bercakap tentang negara yang makmur, pasti ramai yang berfikir soal ekonomi. Tidak dinafikan, faktor ekonomi menjadi keutamaan buat kebanyakan rakyat Malaysia. Kita perlu wang untuk meneruskan kehidupan.

Maka, kita berharap negara ini ditadbir dengan bijak supaya laba ekonominya melimpah ruah lalu dinikmati sekalian rakyat.

Namun, sajak Pak Samad ini mengingatkan kita bahawa membangunkan negara yang subur ekonominya memerlukan prasyarat. Oleh itu prasyarat ini perlu dipenuhi bukan sahaja oleh pemimpin, malah seluruh rakyat negara ini. 

Prasyarat pertama, hasil bumi negara ini perlu diagihkan secara adil dan kedua, rakyat perlu bersatu padu serta mampu hidup secara bersama.

Semangat ini yang melatari pembentukan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang dilancarkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada Oktober tahun lalu. Ia menggariskan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun bermula tahun hadapan.

Berbekalkan semangat kemakmuran bersama, dasar induk ini menetapkan prasyarat-prasyarat penting yang disimpulkan dalam satu matlamat agung: menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat Malaysia menjelang 2030.

Taraf hidup yang wajar tidak hanya tertakluk kepada faktor ekonomi. Menjadi seseorang yang berpendapatan tinggi sahaja tidak menjamin kehidupan wajar. Terdapat banyak lagi keperluan yang wajib dipenuhi untuk mewajarkan kehidupan seseorang.

Laporan Pembangunan Manusia oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) pada 1993 mentakrifkan kehidupan yang wajar sebagai kemampuan untuk menjalani kehidupan yang sihat, menjamin mobiliti fizikal dan sosial serta berhubung dan terlibat dalam komuniti.

Pokoknya, mempunyai wang mencukupi masih belum menjamin kehidupan yang wajar. Rakyat perlu punya akses kesihatan yang baik, mampu bersosial secara sihat dan berfungsi sebagai anggota masyarakat dengan aktif.

Menyusun semula ekonomi

Untuk menyediakan kehidupan yang wajar buat semua rakyat Malaysia, WKB2030 menggariskan tiga objektif untuk dicapai, iaitu menstruktur ekonomi supaya dapat menyediakan pembangunan berkualiti untuk semua, menangani ketidaksaksamaan yang wujud akibat jurang kekayaan dan pendapatan serta membina negara menjadi sebuah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah.

Penstrukturan semula ekonomi adalah langkah pertama yang perlu diambil dalam usaha ini. Ekonomi Malaysia secara kasarnya dilihat subur. Angka-angka serta statistik membolehkan kita mendabik dada sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

Namun, seperti kata pepatah Inggeris, the devil is in the details.

Salah satu komponen ekonomi yang perlukan penstrukturan semula adalah industri. Malaysia pernah berada pada tahap membanggakan dari segi perindustrian apabila lebih 20 tahun lalu, nilai ditambah dalam industri pembuatan kita didominasi subsektor berintensif teknologi tinggi.

Namun, ia semakin merudum apabila sejak 2008 hingga 2015, sumbangan subsektor tersebut semakin berkurangan.

Di sini letaknya keperluan untuk kita menstruktur semula kualiti ekosistem industri negara.

Usaha ini memerlukan kita untuk memberi fokus kepada nilai ditambah yang tinggi serta efektif yang akan dipacu pelaburan proaktif melalui kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Usaha ini yang akan meningkatkan kualiti tenaga kerja tempatan apabila mereka ditawarkan dengan pekerjaan berkualiti serta bersesuaian dengan revolusi industri keempat yang sedang kita hadapi sekarang. 

Pekerjaan berkualiti tinggi menawarkan kadar upah yang lebih tinggi dan inilah kunci untuk kita capai objektif kedua dan ketiga, iaitu menangani jurang kekayaan serta membina sebuah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah.

Pembangunan modal insan yang berfokus sebegini sangat penting untuk kita melahirkan generasi baharu rakyat Malaysia yang dipandang tinggi dunia.

Ia tidak mudah, namun sebagai warga sebuah negara yang berani menghadapi cabaran dan berpandangan jauh, kita perlu bersama-sama menjayakannya.

Dalam tempoh singkat 10 tahun, pelbagai cabaran perlu di atasi dan ia hanya mungkin jika seluruh tenaga rakyat disatukan untuk mencapai matlamat yang sama.

Selain soal ekonomi, perpaduan antara kaum juga adalah cabaran penting yang perlu diatasi. Ia adalah tiang seri dalam usaha untuk membangunkan Malaysia.

Negara ini tidak akan maju  ke hadapan jika rakyatnya asyik bertelagah sesama sendiri kerana kebencian kaum dan perselisihan agama. Pasak negara bangsa yang kukuh perlu ditanam dan difahami sepenuhnya oleh setiap warga.

Seluruh warga Malaysia tanpa mengira kaum atau agama perlu menyelak kembali jati diri sendiri. Adakah ia terbentuk mengikut asas kenegaraan yang telah diperjuangkan nenek moyang kita dahulu?

Adakah ia cukup kuat untuk melawan badai globalisasi yang semakin hari semakin meribut?

Malaysia yang makmur adalah masa hadapan yang kita bersama impikan. Ia hanya akan menjadi kenyataan jika hari ini kita berusaha keras membentuknya.

Setiap keringat yang jatuh di tanah bumi bertuah ini suatu hari nanti akan tumbuh menjadi pohon kemakmuran yang dapat dinikmati bersama anak cucu kita kelak.

Bersamalah kita usahakannya. – 20 Mei, 2020.

* Mohd. Nizam Mahshar, ketua pegawai eksekutif Institut Masa Depan Malaysia dan arkitek utama yang bertanggungjawab dalam melahirkan WKB2030. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen