35 kes baharu Covid-19 adalah jangkitan tempatan


Ragananthini Vethasalam

Dari 37 kes baharu itu, dua daripadanya adalah diimport, sementara 35 yang lain adalah daripada jangkitan tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei 2020.

MALAYSIA hari ini melaporkan 37 kes baru Covid-19, menjadikan jumlah jangkitan wabak itu meningkat kepada 6978 orang di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Dari 37 kes baharu itu, dua daripadanya adalah diimport, sementara 35 yang lain adalah daripada jangkitan tempatan.

Noor Hisham juga menambah bahawa 22 dari 35 kes tempatan itu turut melibatkan warga asing.

Kes-kes yang masih aktif pula berjumlah 1218 kes.

Sementara itu, 31 pesakit telah pulih dan dibenarkan pulang pada tengah hari ini.

Satu kematian juga dilaporkan, menjadikan angka kematian berjumlah 114 orang.

Kes kematian itu membabitkan kes ke-6942 yang merupakan wanita tempatan berusia 77 tahun, mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit barah hati, yang telah dirawat di sebuah pusat perubatan di Pahang, dan disahkan meninggal dunia pada pukul 3.09 pagi semalam (18 Mei).

Beliau berkata sehingga kini juga terdapat 11 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

Berhubung prosedur operasi standard (SOP) semasa membeli-belah menjelang musim perayaan ini, beliau berkata pihaknya bimbang berikutan masih terdapat segelintir masyarakat yang didapati tidak acuh dan secara terang-terangan melanggar SOP yang telah ditetapkan.

“Harus diingati bahawa walaupun jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan semakin menurun, namun masih terdapat bahaya jangkitan Covid-19 dalam masyarakat. Oleh itu, kita mesti menjaga diri kita, keluarga kita dan juga komuniti kita daripada jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar mengelakkan daripada aktiviti membeli-belah di tempat-tempat yang sesak dan sempit, di mana penjarakan sosial sukar diamalkan. – 19 Mei 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen