Bicara kes rasuah Abdul Azeez dan abangnya bermula Ogos depan


Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2020.

PERBICARAAN kes rasuah Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya Abdul Latif akan bermula pada 18 Ogos ini di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta manakala abangnya menghadapi dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez.

Hakim Azura Alwi menetapkan 21 hari bermula 18 dan 19 Ogos; 7 hingga 11 September; 9, 16, 23 dan 30 Oktober serta 7 hingga 18 Disember untuk perbicaraan, semasa pengurusan kes itu hari ini.

Terdahulu, Peguam M. Athimulan yang mewakili Abdul Azeez, 53, memohon maaf kepada mahkamah kerana anak guamnya tidak dapat hadir hari ini berikutan beliau perlu menghadiri istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Adam Mohamed ketika ditemui media memberitahu bahawa pihaknya akan memanggil sekurang-kurangnya 30 saksi pendakwaan.

Pada 16 Januari lalu, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta, berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta.

Bagi pertuduhan rasuah, dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di Kuala Lumpur pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi kes pengubahan wang haram, dia dituduh melakukan kesalahan itu di sekitar Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, manakala sembilan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Abdul Latif pula menghadapi dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez, yang telah secara rasuah menerima wang tunai berjumlah RM4 juta daripada Mohammad Redzuan sebagai upah, membantu Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek pembinaan jalan secara tender terhad, daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia.

Projek melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru: Kerja-Kerja Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak Darul Ridzuan) yang bernilai RM644,480,000.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 28(1)(c) akta sama. – Bernama, 18 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen