Johor mahu ambil alih pegangan syarikat air negeri


Ikhwan Zulkaflee

JOHOR mahu mengambil alih pegangan dalam syarikat pembekal air negeri, SAJ Ranhill Sdn Bhd.

“Dari segi komersial prospektif, ianya bukan satu perkara yang mustahil, ianya boleh dibuat,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Ke­majuan Luar Bandar dan Wilayah Johor Ir Hasni Mohammad pada satu sidang media di luar Dewan Undangan Negeri Johor hari ini.

Hasni turut mengetepikan kebimbangan pihak tertentu yang syarikat itu mungkin jatuh ke tangan pihak asing disebabkan kerajaan negeri hanya pemilik kepentingan minoriti, menyifatkan sekiranya ia berlaku lesen syarikat itu boleh dibatalkan.

“Tetapi kalau ianya dimiliki 100% atau keseluruhan saham dimiliki orang asing atau pihak yang tidak dipersetujukan oleh kerajaan (negeri), kerajaan boleh membatalkan, melalui SPAN (Syarikat Pengurusan Air Negara) lesen yang mereka miliki.”

Tambahnya lagi, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan syarikat itu bagi membincangkan langkah pengambil alihan pegangan majoriti dan tidak berhasrat melakukannya secara “hostile takeover”. 

Sementara itu Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Abdul Hamid Jumat (BN-Kempas) menggesa kerajaan negeri mengambil alih SAJ Ranhill menggunakan rizab tunai kerajaan.

“Kerajaan negeri memiliki simpanan rizab tunai hampir berjumlah RM4 billion dan dengan itu, pastinya mampu untuk membeli saham dalam syarikat induk yang telah dianugerahkan konsesi penswastaan air Johor, iaitu Ranhill Holdings Berhad. Ianya telahpun diapungkan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL),” katanya dalam sesi perbahasan Bajet Johor 2018 hari ini.

Tengku Putra Haron berkata, Ranhill memiliki pegangan saham 80% dalam SAJ Ranhill, berbanding kerajaan negeri yang sekadar mempunyai 20% kepentingan saham, situasi yang disifatkannya boleh menjadi peluang sabotaj ekonomi negeri.

“Kita harus insaf, andainya syarikat air Johor ini jatuh ke tangan syarikat asing melalui penguasaan saham, tentunya ia turut mendedahkan kepada wujudnya kemungkinan sabotaj ekonomi oleh pelabur asing.

Adun Kempas tersebut turut mendakwa terdapat “desas-desus mengatakan bahawa ada kemungkinan SAJ (Ranhill) akan membekalkan air kepada syarikat pemaju wilayah Forest City” yang dianggarkan memerlukan lebih kurang 600 juta kubik mililiter air sehari apabila siap sepenuhnya.

Beliau menambah yang permintaan projek mewah tersebut menyamai permintaan air bagi seluruh kawasan Johor Baru dan Pasir Gudang.

“Ini merupakan sikap amat tidak bertanggungjawab kerana ia seolah-olah membelakangkan keputusan kerajaan negeri yang begitu jelas mensyaratkan agar pemaju wilayah pembangunan tersebut mencari sumber air sendiri dan tidak menjejaskan kepentingan rakyat serta negeri.

“Kita tidak mahu hanya kerana kepentingan untuk mengaut untung, maka rakyat dan bangsa Johor didedahkan kepada kemungkinan tercetusnya krisis air di negeri ini lagi,” katanya.

Tahun lepas, Johor berdepan krisis air yang antara faktornya adalah kemarau panjang menyebabkan catuan air dikenakan di beberapa kawasan. – 26 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen