Turunkan kadar pemilikan hartanah warga asing akan sukarkan rakyat, kata Pakatan


Ikhwan Zulkaflee

Menurut Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan, cadangan itu tidak sesuai dilaksanakan ketika ini kerana kejatuhan nilai Ringgit yang hanya akan menguntungkan warga asing. Adun PH Johor bersepakat supaya kadar minimum pemilikan hartanah oleh warga asing dikekalkan pada RM1 juta yang dikuatkuasakan pada 2014 untuk mengawal kenaikan harga rumah di negeri itu. – Gambar The Malaysian Insight, 26 November, 2017.

CADANGAN Johor untuk mengurangkan kadar minimum RM1 juta pemilikan hartanah warga asing hanya akan menyukarkan lagi rakyat negeri itu memiliki rumah, kata Pakatan Harapan (PH) Johor hari ini.

Menurut Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan, cadangan itu tidak sesuai dilaksanakan ketika ini kerana kejatuhan nilai Ringgit yang hanya akan menguntungkan warga asing.

Adun PH Johor bersepakat mencadangkan supaya kadar minimum pemilikan hartanah oleh warga asing dikekalkan pada RM1 juta, kadar yang dikuatkuasakan pada 1 Mei 2014 untuk mengawal kenaikan harga rumah di negeri itu. 

Kata Aminolhuda lagi, kerajaan negeri seharusnya membiarkan kuasa pasaran membetulkan struktur harga pasaran sendiri dan memberi fokus kepada skim-skim perumahan yang dapat membantu rakyat seperti Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

“Tindakan mengurangkan kadar harga minimum pemilikan warga asing hanya akan menyebabkan segmen hartanah berharga RM500,000 hingga RM1 juta akan terus meningkat tinggi yang akhirnya menyebabkan rakyat tempatan sukar untuk memiliki hartanah kediaman sendiri,” katanya kepada wartawan pada sidang media Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PH Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

Aminolhuda mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor Md Jais Sarday yang kerajaan negeri bercadang mengurangkan kadar minimum pemilikan hartanah di Johor kepada satu harga yang bersesuaian dengan keluasan hartanah tersebut.

Ini susulan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini yang mengesahkan wujud ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran pasaran hartanah negara susulan harga rumah yang lebih tinggi berbanding kemampuan isi rumah Malaysia.

Dalam laporan itu, Johor juga disebut mempunyai jumlah unit kediaman tidak terjual tertinggi sebanyak 27% berbanding Selangor (21%), Kuala Lumpur (14%) dan Pulau Pinang (8%).

Aminolhuda juga memberikan contoh negara luar yang mengawal pembelian hartanah oleh warga asing bagi melindungi kepentingan rakyat mereka.

“Di New Zealand, Perdana Menteri baru Jacinda Ardern dalam proses untuk membekukan kebenaran pemilikan hartanah kediaman oleh warga asing kerana menurutnya pemilikan hartanah oleh warga asing telah menyebabkan harga hartanah melambung tinggi dan menyukarkan rakyat tempatan untuk memiliki rumah sendiri.

“Bahkan kerajaan Australia juga mula mengambil tindakan yang hampir sama iaitu dengan meningkatkan bayaran levi kepada warga asing yang ingin memiliki hartanah kediaman daripada 4% kepada 7% berkuatkuasa Januari 2018,” katanya. – 26 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen