Kawasan pasar Pudu tidak diletak di bawah PKPD, kata Ismail Sabri


Aminah Farid

Seramai 500 pekerja asing di Pasar Pudu dan kawasan sekitar menjalani ujian saringan Covid-19 baru-baru ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazur Sufari, 15 Mei, 2020.

PASAR basah Pudu dan kawasan sekitarnya belum ditempatkan di bawah perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD), kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kawasan tersebut tidak diletakan di bawah perintah pengurungan dan penduduk dibenarkan untuk keluar masuk.

“Dalam beberapa keadaan kita hanya akan menjalankan kawalan tetapi itu tidak bermakna kawasan itu diletakkan di bawah PKPD.

“Di bawah kawalan pentadbiran, penduduk masih dibenarkan keluar dan membeli barang, mereka hanya perlu diuji untuk Covid-19,” katanya dalam sidang media hariannya di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata pihak berkuasa hanya mahu melakukan ujian Covid-19 bagi memastikan sama ada terdapat kes positif.

Mangsa ini kemudiannya akan diasingkan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, katanya.

Awal pagi ini tentera dilihat memasang pagar kawat berduri di kawasan sekitar pasar Pudu.

Lebih 500 pekerja warga asing di pasar basah Pudu dan kawasan sekitar disaring Covid-19 baru-baru ini.

Ketua Polis KL Mazlan Lazim berkata langkah itu bukan perintah pengurungan tetapi latihan untuk memperkasakan PKP.

“Ini bukan PKPD atau pengetatan PKP. Ia sama seperti yang kami lakukan di pasar basah Jalan Raja Bot di Chow Kit,” katanya.

Pasar basah di Chow Kit ditutup bulan lepas untuk kerja-kerja sanitasi dan peniaga diminta menutup kedai mereka disebabkan banyak jangkitan Covid-19.

Pagar kawat berduri dipasang di sekitar pasar dan sekitarnya ketika pihak berkuasa melakukan latihan ujian Covid-19 secara besar-besaran. – 15 Mei, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen