Kawasan Pudu dipasang kawat duri


Anggota tentera mengawal kawasan sekitar Pudu yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan separa lewat malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 Mei, 2020.

KAWASAN sekitar Pudu diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan separa ketat, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim.

“Bukan lockdown (perintah berkurung) tetapi memperkemas dan memperkasa PKP tapi bukan PKP diperketatkan.

“Serupa macam kita buat di Pasar Raja Bot,” katanya ketika dihubungi.

Pasar Raja Bot baru-baru ini ditutup selama dua minggu bagi memberi laluan kepada proses sanitasi dan pengesanan kes Covid-19 di kawasan sekitar.

Kawasan Pudu diletakkan di bawah PKPD separa selepas Kementerian Kesihatan (KKM) semalam berkata 18 kes baharu Covid-19 di Wilayah Persekutuan dikesan di sekitar Pasar Pudu membabitkan pekerja asing.

Ramai pendatang asing Myanmar dan pelarian bekerja di Pasar Pudu dan beberapa perniagaan lain.

Lebih 500 pekerja asing di Pasar Pudu dan kawasan sekitar menjalani saringan Covid-19.

Anggota tentera memasang kawat duri di kawasan berkenaan lewat malam tadi. – 15 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen