Ahli Bersatu adu Muhyiddin kepada lembaga disiplin


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Tindakan Muhyiddin Yassin membawa keluar Bersatu daripada Pakatan Harapan dan mencalonkan dirinya sebagai perdana menteri tidak dibuat secara sah, kata ahli parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2020.

BEBERAPA ahli Bersatu meminta lembaga disiplin parti mengambil tindakan terhadap Presiden Muhyiddin Yassin kerana membawa parti itu keluar dari Pakatan Harapan (PH).

Beberapa surat yang dilihat The Malaysian Insight itu menyatakan asas rungutan sama, iaitu Muhyiddin mengambil tindakan tidak sah mengeluarkan Bersatu dari PH tanpa pengesahan dan persetujuan ahli parti melalui persidangan atau majoriti ahli Majlis Tertinggi.

Ketua Bersatu Bahagian Merbok Mejar (B) Anuar Abdul Hamid mengesahkan surat bertarikh 13 Mei itu dihantar tiga ahli dari bahagiannya kepada lembaga disiplin Bersatu.

“Kami dah hantar surat itu kepada lembaga disiplin tapi ibu pejabat tutup tidak ada orang bekerja untuk terima surat.

“Tapi kami dah emel kepada lembaga disiplin, kita tengok mereka berani terima atau tidak,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Lembaga disiplin parti bagaimanapun katanya masih belum memberikan sebarang maklum balas terhadap surat tersebut.

Dalam surat tersebut, mereka mendakwa Muhyiddin bekerjasama secara tidak sah bersama PAS dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan Persekutuan pada 1 Mac lalu, kerana dibuat tanpa melalui mesyuarat mahupun persidangan umum Bersatu.

Menerusi surat itu juga, ahli Bersatu tersebut berkata, Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh dengan sengaja mencalonkan diri sebagai perdana menteri dari Bersatu sedangkan Majlis Tertinggi pada 24 Februari menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad.

The Malaysian Insight juga mengesan format dan kandungan surat yang sama disebarkan melalui Facebook untuk panduan ahli Bersatu membuat laporan kepada lembaga disiplin.

Dr Mahathir meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu dan perdana menteri pada 23 Februari, sehari selepas mesyuarat majlis tertinggi memutuskan sama ada Bersatu perlu keluar daripada gabungan PH.

Rakaman percakapan mesyuarat itu yang mana Muhyiddin berkata keputusan akhir terletak kepada Dr Mahathir, juga didedahkan, malam tadi.

Selepas mesyuarat tersebut, Muhyiddin bersama ahli Parlimen Bersatu tanpa kehadiran Dr Mahathir dan Timbakan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir hadir ke Hotel Sheraton bertemu pemimpin PAS, BN, dan PKR yang berpaling tadah.

Dr Mahathir dan Mukhriz masih bersama Bersatu namun terdapat spekulasi kedua-duanya akan dipecat menjelang pemilihan buln hadapan.

Dr Mahathir merupakan calon tunggal untuk jawatan pengerusi Bersatu manakala Mukhriz cuba mencabar kedudukan Muhyiddin sebagai presiden. – 13 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen