Intai peluang ekonomi baharu dalam krisis Covid-19, pesan ahli ekonomi


Mohd Farhan Darwis

Pakar ekonomi berpendapat aktiviti ekonomi tidak boleh dihentikan terlalu lama namun ia harus dikembalikan denga kaedah selamat bagi mengurangkan penularan Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2020.

PUTRAJAYA perlu bijak mencari peluang ekonomi baharu selepas pandemik Covid-19 menyebabkan beberapa sektor terjejas teruk, kata penganalisis ekonomi.

Kerajaan juga tidak lagi boleh hanya mencipta “perangsang” pertumbuhan ekonomi tetapi perlu memaksa peralihan ekonomi berlaku, lebih-lebih lagi bagi menghadapi kemajuan teknologi dalam Revolusi Perindustrian 4.0, kata mereka.

Sektor yang hendak diteroka itu pula mestilah yang menyediakan peluang pekerjaan yang besar untuk rakyat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (Masa) Mohd Nizam Mahshar.

“Saya jangkakan memang akan ada beberapa industri akan menerima implikasi jauh lebih parah berbanding industri lain, misalnya yang ada hubungan langsung dengan pelanggan.

“Peranan kerajaan adalah untuk kenal pasti industri yang terkena pukulan paling teruk ini dan tidak ada cara lain mereka perlu dibantu.

“Mereka ini antara 2% hingga 5% industri yang tidak boleh beroperasi langsung (sepanjang perintah kawalan),” katanya, yang mengetuai badan pemikir yang ditubuhkan oleh Bersatu.

Nizam menyampaikan pandangannya dalam sesi wacana “Pemulihan Ekonomi: Pasca Covid-19” bersama Penasihat Penyelidik, Khazanah Research Institute (KRI) Jomo Kwame Sundaram.

Sesi anjuran Institut Masa itu dikendalikan oleh pengacara televisyen Sayed Munawar Syed Mohd Mustar.

Menurut Nizam, kerajaan tidak cukup sekadar membenarkan semula kegiatan ekonomi selepas Covid-19, sebaliknya mengatur kebiasaan baharu dengan membuka ruang yang lebih luas.

“Kita kena buka ruang lebih luas supaya industri yang akan terhasil hari ini dapat memberi pendapatan lebih dan kelangsungan hidup dan ekonomi kepada sektor perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dengan lebih baik.

“Kita bukan setakat memulakan semula ekonomi tapi kena menjana semula ekonomi dengan lebih baik, ini masanya untuk semua orang berubah,” katanya.

Beliau mencadangkan pelan pemulihan ekonomi itu dibentang dalam Rancangan Malaysia ke-12.

“Ini bukan lagi masa tempoh pemulihan semata-mata tetapi juga bagaimana kita mulakan ekonomi dengan lebih berkesan,” kata Nizam.

Dalam forum disiarkan secara atas talian itu, Jomo pula berpendapat, aktiviti ekonomi tidak boleh dihentikan terlalu lama, kerana lambat laun ia perlu berjalan.

Namun, pasca Covid-19, aktiviti kegiatan ekonomi harus berjalan dengan kaedah selamat bagi mengurangkan jangkitan, jelasnya.

“Kita harus kembalikan kegiatan ekonomi dengan cara selamat untuk kurangkan penyebaran wabak. Itu keutamaan kita, bukan pilihan antara ekonomi atau wabak.

“Saya rasa ini cabaran baru bagi kita. Kalau kerajaan buat silap dari masa ke masa kita faham, kerana ia perkara baharu, tidak ada satu manual untuk itu.

“Kita mesti sediakan cadangan sesuai dengan keadaan kita. Apa yang sesuai di Korea mungkin tak sesuai di sini. Kita harus memahami keadaan kita di Malaysia ini,” katanya.

Sementara itu, Jomo berkata, memasuki fasa seterusnya, kerajaan tidak boleh lagi bergerak seolah-olah mereka tahu semua, sebaliknya melibatkan masyarakat dan rakyat dengan mendengar pandangan dan aduan mereka.

Kerajaan juga mencipta perangsang ekonomi yang akan memaksa peralihan berlaku dalam sektor tertentu, katanya.

“Kalau itu tidak berlaku kita tak dapat mengharungi kemungkinan bahaya besar yang akan kita hadapi,” kata Jomo.

Beliau mengingatkan kelompok yang paling terjejas akibat Covid-19 ialah kumpulan yang berpendapatan rendah atau B40, yang suara mereka jarang di dengar dalam sistem masyarakat.

Katanya, mereka ini bukan saja menanggung kesannya sekarang tetapi beban yang akan berterusan akibat hilang pekerjaan atau bertambah hutang.

“Inilah sebabnya kalau kita tak prihatin kepada mereka, masalah ini tidak dapat diatasi,” katanya.– 12 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen