Hampir sejuta bakal hilang kerja tahun ini, kata persatuan majikan


Ragananthini Vethasalam

Sejumlah individu mengisi borang ketika mencuba nasib untuk mendapatkan peluang pekerjaan di Pasar Borang Kuala Lumpur pada 10 Mei 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2020.

JUMLAH rakyat Malaysia yang kehilangan kerja kemelesetan ekonomi ekoran pandemik Covid-19 akan mencecah sekurang-kurangnya sejuta orang pada tahun ini, kata pakar.

Mereka berkata sektor yang paling teruk terjejas adalah pelancongan, pembuatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Mereka juga berkata Putrajaya perlu berusaha lebih untuk membantu majikan dan pekerja mereka bagi menempuh tempoh sukar ini.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia Shamsuddin Bardan berkata kepada The Malaysian Insight bahawa setakat akhir Mac, lebih 5,000 pekerja dibuang dari industri pelancongan manakala sektor pembuatan membuang 3,000 staf.

Beliau berkata sektor PKS terutamanya dalam bidang peruncitan, dijangka terjejas teruk.

“Kita menjangkakan jumlah separuh daripada jumlah ini (650,000 PKS) tidak mampu bertahan disebabkan PKP dan PKPD,” katanya merujuk kepada perintah kawalan pergerakan dan perintah kawalan pergerakan diperketatkan.

Shamsuddin menjangkakan jumlah pekerja yang dibuang untuk tahun ini mencapai angka sejuta.

Ini ditambah lagi dengan lebih 600,ooo penganggur dan lepasan universiti yang mencari pekerjaan, sekali gus meningkatkan jumlah pengangguran kepada dua juta orang.

Katanya, bagi mengelakkan mereka hilang kerja, kerajaan perlu menyokong perniagaan dengan menyalurkan lebih banyak bantuan kewangan.

“Jika dilihat pada Program Subsidi Gaji, jumlahnya tidak tinggi. Ia masih kurang daripada 17% gaji bulanan pekerja di sektor swasta.

“Sudah tentu kita berharap kerajaan menyalurkan bantuan kewangan kepada majikan untuk membayar gaji pekerja bagi mengelakkan berlakunya pembuangan pekerja,” katanya.

Beliau berkata pertambahan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) daripada RM120 juta kepada RM240 juta masih tidak cukup untuk menampung majikan yang perlu mengekalkan pekerja mereka.

Di pihak pekerja pula, beliau berkata mereka perlu mempertimbangkan langkah pengurangan manfaat dan pemotongan gaji bagi mengekalkan kerja mereka.

Beliau berkata proses pemulihan akan mengambil masa lama kerana Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) meramalkan pandemik kali ini boleh menjejaskan satu pertiga dagangan dunia.

WTO meramalkan Covid-19 memberi kesan yang lebih teruk terhadap perdagangan berbanding krisis kewangan yang berlaku lebih sedekad lalu.

Dagangan dunia dijangka menurun antara 13% dan 32% ekoran kesan tidak menentu ekonomi disebabkan krisis kesihatan ini.

“Saya boleh katakan sittuasi ini amat sukar dan proses pemulihan akan memakan masa lamam” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan PKS Michael Kang juga menjangkakan sejuta orang akan hilang pekerjaan ketika lebih dua juga majikan sudah memohon ERP.

Kang menjangkakan jumlah rakyat yang kehilangan kerja akan meningkat dalam tempoh tiga hingga enam bulan di setiap sektor.

Kadar pengangguran di Malaysia meningkat 17.1% pada Mac ekoran pelaksanaan PKP bagi menghentikan penularan Covid-19, kata Jabatan Perangkaan menerusi laporannya baru-baru ini.

Peningkatan peratusan itu adalah daripada 521,300 penganggur pada Mac tahun lalu kepada 610,500 orang pada bulan yang sama tahun ini.

Ini menjadikan kadar pengangguran untuk bulan Mac tahun ini pada 3.9%, kadar pengangguran tertinggi sejak 1986 ketika itu adalah 7.4%, kata Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Perbandingan suku ke suku menunjukkan pengangguran untuk tiga bulan pertama tahun ini meningkat kepada 3.5%, berbanding 3.2% pada suku keempat 2019.

Ini menjadikannya kadar pengangguran tertinggi yang dicatatkan sejak suku kedua 2017, melibatkan 546,600 orang, kata Uzir.

Graduan merangkumi 29.3% daripada penganggur. – 11 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen